Belanjawan 2025: Terengganu tumpu naik taraf kemudahan pelancongan utama
Bernama
Oktober 30, 2024 04:00 MYT
Oktober 30, 2024 04:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memberi tumpuan khusus kepada usaha menaik taraf kemudahan di destinasi pelancongan utama termasuk pulau-pulau peranginan bagi memastikan fasiliti yang disediakan berada pada tahap yang terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata langkah itu untuk menarik lebih ramai pelancong serta meningkatkan daya saing negeri dalam industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027.
Beliau berkata pihaknya telah menjalankan beberapa siri lawatan ke pulau peranginan termasuk Pulau Redang bagi mengenal pasti jeti-jeti yang bermasalah untuk dinaik taraf demi keselesaan pelancong dan juga penduduk di kawasan berkenaan.
"Antara kemudahan yang memerlukan proses naik taraf dan bina baharu dengan segera ialah jeti pemunggahan barang bukan sahaja di Pulau Redang, malah beberapa pulau peranginan yang lain juga seperti Pulau Tenggol di Dungun, Pulau Kapas di Marang dan Pulau Bidong di Kuala Nerus.
"Kerajaan negeri memerlukan lebih RM30 juta bagi menaik taraf kemudahan jeti sedia ada dan membina jeti pemunggahan barang di pulau-pulau peranginan Terengganu," katanya kepada Bernama.
Razali berkata pihaknya sedang menyiapkan permohonan yang lengkap di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 berdasarkan hala tuju dan senarai keutamaan kerajaan negeri untuk pertimbangan sewajarnya di pihak kementerian.
Berdasar statistik, Pulau Redang mencatatkan kehadiran 329,112 pelancong dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Razali berkata pihaknya percaya sokongan holistik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sektor pelancongan yang diterjemahkan melalui Belanjawan 2025 akan memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan di Malaysia khususnya di Terengganu yang mencatatkan peningkatan kehadiran pengunjung setiap tahun.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan sejumlah RM110 juta disediakan bagi melengkapkan kawasan pelancongan, menjalin kerjasama ekopelancongan dan menyokong pencalonan UNESCO.
Kerajaan juga katanya, akan menambah baik kemudahan di Taman Negara Endau Rompin, Johor; Pulau Redang, Terengganu dan Pantai Tusan Bekenu, Sarawak.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort Kepulauan Redang Terengganu Mohamad Zaid Harris turut menegaskan keperluan kritikal untuk menaik taraf kemudahan asas di Pulau Redang termasuk jeti, bekalan air dan sistem kumbahan yang masih daif dan tidak mencapai tahap yang diperlukan.
Beliau berkata masalah bekalan air yang tidak mencukupi dan kerap dicatu menjejaskan kualiti hidup penduduk serta pengalaman pelancong, malah paip air yang telah berusia lebih 25 tahun sering mengalami kebocoran, menyebabkan kehilangan 50 peratus bekalan air di laut.
"Kami mohon perhatian kerajaan untuk meningkatkan sistem bekalan air terawat di Pulau Redang agar masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.
Selain itu, Mohamad Zaid juga meminta agar jeti pelancongan yang berusia lebih 20 tahun dinaik taraf untuk menampung jumlah pelancong yang semakin meningkat, dengan penambahan kemudahan, seperti tandas, tempat duduk, tong sampah selain menyiapkan loji rawatan kumbahan di Pasir Panjang bagi memastikan kebersihan dan keselesaan di Pulau Redang.
Pengusaha bot Khairul Azhar Mohd Narus, 43, yang telah berkecimpung lebih 15 tahun dalam industri pelancongan, turut menyuarakan kebimbangan mengenai masalah muara Sungai Merang yang cetek sehingga mengganggu kelancaran perjalanan bot selain menyebabkan kerosakan dan kos penyelenggaraan yang tinggi.
"Setiap hari lebih kurang 100 pelancong menggunakan perkhidmatan bot dari Jeti Merang ke Pulau Redang. Namun, masalah muara cetek menyebabkan kami (pengusaha bot) terpaksa tolak bot lebih jauh ke laut, ia bukan sahaja memakan masa, tetapi juga boleh membahayakan nyawa pelancong," katanya yang berharap isu itu dapat segera ditangani.
-- BERNAMA