Belanjawan 2025: Sabah terima peruntukan pembangunan terbesar, bukti gabungan BN-PH tepat

Bernama
Disember 7, 2024 04:15 MYT
Arthur menyampaikan ucapan sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 Tahun BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 7 Dis 2024. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sabah yang mendapat peruntukan pembangunan paling besar dalam Belanjawan 2025 berbanding wilayah lain menunjukkan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan adalah keputusan tepat.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata selain mendapat peruntukan pembangunan terbesar, Kerajaan Perpaduan juga berjaya memberi anugerah kepada semua projek Pan Borneo untuk dimulakan di Sabah.
“Walhal pada kemelut politik penggal lepas, satu projek Pan Borneo pun tidak dapat diberikan untuk dimulakan pada waktu itu. Jadi, sekarang ini kita tahu mana satu yang terbaik dan kita tahu bagaimana hala tuju kita ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN di Pusat Dagangan Dunia di sini semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.
Arthur berkata sejak pemerintahan Kerajaan Perpaduan, negara menikmati kestabilan politik, imej yang baik dan pelaburan meningkat.
“Apabila keadaan politik stabil, kita dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan negara,” katanya.
Pada 18 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sabah menerima peruntukan pembangunan tertinggi antara negeri lain menerusi Belanjawan 2025 iaitu RM6.7 bilion.
Sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan surat setuju terima (SST) dengan nilai kontrak RM9.7 bilion meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau manakala Pan Borneo Sarawak dijangka siap bulan depan.
Secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak RM25.1 bilion.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2025 #Sabah #peruntukan pembangunan #Kerajaan Perpaduan
;