Belanjawan 2025: RM750 juta kepada PBT, JPS, NADMA untuk persiapan banjir

Madiha Abdullah
Oktober 18, 2024 17:36 MYT
Anwar berkata pengurusan bencana negara terus ditambah baik di samping menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penyaluran segera RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di bandar yang terkesan banjir.
Selain itu, peruntukan hampir RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir, termasuk lebih RM 300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
Anwar berkata pengurusan bencana negara terus ditambah baik di samping menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir melibatkan kerjasama semua kontraktor.
"Sebagai langkah segera, saya telah arahkan untuk penyaluran segera RM150 juta kepada PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kota-kota yang terkesan.
"Hampir RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir. Ini termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
"RM20 juta geran padanan disediakan segera kepada Yayasan GLIC dan GLC untuk memperhebat respons dan penyaluran bantuan kepada mangsa di kawasan terjejas banjir," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025, pada Jumaat.
Pada masa yang sama, perdana menteri memaklumkan setakat ini, kerajaan telah berjaya menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai 540 juta ringgit.
Seterusnya, 12 projek RTB dengan kos RM3 bilion telah dikeluarkan SST dan berjalan mengikut jadual antaranya melibatkan:
RTB Sungai Damansara, Selangor, RTB Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah;RTB Sungai Triang, Bera, Pahang, RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, Terengganu; dan pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2, Kota Bharu.
Sementara itu, bagi mengawal kejadian tanah jerlus daripada berulang, beberapa projek akan dilaksanakan meliputi lebih RM250 juta untuk membaiki cerun seluruh negara, RM 21 juta untuk mengekang isu tanah jerlus di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis; dan RM10 juta bagi melaksanakan Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di jalan-jalan utama sekitar Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.
#banjir #bencana alam #terkini #Belanjawan2025 #Belanjawan25
;