Belanjawan 2025: RM15.1 juta untuk tingkat pembangunan bandar pintar
Bernama
Oktober 23, 2024 22:32 MYT
Oktober 23, 2024 22:32 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM15.1 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi meningkatkan pembangunan bandar pintar di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu merupakan pembiayaan terbesar yang pernah diterima kementerian untuk inisiatif bandar pintar.
"Potensi sebenar bandar masa depan terletak pada keupayaan mentafsir semula kehidupan bandar melalui gabungan dinamik teknologi, dasar dan inovasi," katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Bandar Masa Depan di sini hari ini.
Nga berkata selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kementerian komited untuk memastikan dasar yang betul dilaksanakan bagi pembangunan bandar yang boleh didiami.
Dengan memupuk konsep bandar pintar, beliau berkata kementerian menyasarkan untuk mewujudkan ekonomi inklusif yang menarik minat penduduk dan pelabur, menjana aliran hasil baharu, meningkatkan hasil cukai, dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Beliau berkata konsep sedemikian telah berjaya dilaksanakan oleh pemimpin global dalam pembangunan bandar pintar, seperti di Zurich dan Geneva (Switzerland), Oslo (Norway), Canberra (Australia) dan Singapura.
"Di Malaysia, ia juga sesuatu yang kita sedang usahakan sejak dua tahun lepas. Kita sudah ada projek perintis Bandar Masa Depan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kulim, Kota Kinabalu, Putrajaya, Cyberjaya, Melaka dan Pulau Pinang," katanya.
Menurut Balai Cerap Bandar Pintar, Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD), Nga berkata Kuala Lumpur mendaki 16 anak tangga dalam Indeks Bandar Pintar tahun ini untuk menjadi bandar raya paling pintar ke-73 di dunia, berbanding kedudukan ke-89 tahun lepas.
"Bagaimanapun, banyak yang perlu dilakukan. Kesesakan lalu lintas dan rumah mampu milik kekal menjadi isu paling membimbangkan di Kuala Lumpur," katanya.
Oleh itu, Nga mencadangkan agar teknologi inovatif untuk bandar masa depan diteroka, seperti sistem pengurusan bandar pintar yang memanfaatkan data masa nyata untuk melaraskan isyarat trafik bagi mengurangkan kesesakan, dan sistem pengurusan sisa automatik yang menggunakan sensor untuk memantau tahap sisa dan mengoptimumkan laluan pengumpulan.
"Ciri-ciri seperti penyelesaian pembayaran pintar juga dapat meningkatkan ekonomi bandar masa depan. Hal ini akan meningkatkan pengalaman pengunjung di bandar masa depan dengan tarikan pelancongan, menggalakkan pelancong melanjutkan penginapan dan berbelanja lebih, yang akhirnya meningkatkan ekonomi tempatan," katanya.
-- BERNAMA