Belanjawan 2025: Peruntukan wajar difokuskan kepada intervensi langsung TVET

Astro Awani
Oktober 20, 2024 10:30 MYT
P Sri Ganes berpendapat peruntukan yang lebih besar wajar difokuskan kepada intervensi langsung melalui kerjasama awam-swasta (PPP) yang lebih mendalam. - Foto SGC
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengubah keseimbangan bajet dengan mengurangkan tumpuan kepada perbelanjaan operasi yang biasanya memberikan impak terhad dalam pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini," kata Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes.
Menurutnya, walaupun perbelanjaan operasi penting untuk memastikan kelangsungan infrastruktur dan perkhidmatan asas, ia selalunya tidak memberikan impak besar yang mampu mempercepatkan perubahan struktur ekonomi.
Sebaliknya, beliau berpendapat peruntukan yang lebih besar wajar difokuskan kepada intervensi langsung melalui kerjasama awam-swasta (PPP) yang lebih mendalam.
"Intervensi ini akan memacu hasil yang lebih jelas dan ketara, seperti peningkatan kebolehpasaran pekerja dan pembangunan kemahiran yang relevan dengan sektor teknologi dan inovasi tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Datuk P. Sri Ganes lagi, kerajaan perlu memberikan lebih banyak tumpuan kepada kerjasama PPP yang proaktif dalam usaha membangunkan bakat dan teknologi, dengan mengurangkan peruntukan yang terlalu besar kepada perbelanjaan operasi yang kurang berimpak.
"Dengan pendekatan ini, kita dapat memastikan belanjawan bukan sekadar menguruskan aspek penyelenggaraan, tetapi juga menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih luas dan bermakna dalam ekonomi serta pembangunan modal insan negara," jelasnya.
Secara keseluruhan, beliau mengakui Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pembangunan TVET dan pembangunan teknologi, dengan matlamat utama memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan.
"Sebagai contoh, geran padanan berjumlah RM50 juta yang disediakan untuk industri yang menyertai program Anak Angkat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) merupakan langkah bijak ke arah melibatkan lebih banyak syarikat swasta dalam pendidikan dan latihan," katanya.
Namun, menurutnya, inisiatif seumpama itu perlu diperluaskan.
"Saya berharap sektor swasta bukan sahaja terlibat sebagai rakan kongsi, tetapi juga memainkan peranan utama dalam merangka kurikulum, menyediakan kemudahan latihan, dan membimbing graduan TVET ke arah pasaran pekerjaan," ujarnya.
Sri Ganes turut menekankan bahawa langkah seperti itu akan memastikan hasil yang lebih berkesan serta mengurangkan jurang antara sistem pendidikan dan keperluan industri.
Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa peruntukan untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) akan dinaikkan kepada RM7.5 bilion daripada RM6.8 bilion. Langkah ini selaras dengan Dasar TVET Negara yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan untuk memastikan penyelarasan pelaksanaan secara holistik bermula tahun ini sehingga 2030.
#Belanjawan 2025 #TVET #perbelanjaan operasi #Belanjawan25
;