Belanjawan 2025 mengangkat martabat, junjung hak rakyat - Fadillah

Ridauddin Daud
Oktober 18, 2024 20:04 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 adalah belanjawan yang memberi fokus dan berpaksikan kepada rakyat, serta mengangkat martabat dan menjunjung hak rakyat.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fokus utama belanjawan adalah kesejahteraan rakyat dengan tumpuan kepada perlindungan golongan rentan, menambah baik prasarana asas dan menangani ketirisan.
Menurutnya, selain itu, Belanjawan 2025 juga dilihat mampu menambahkan pendapatan negara dan pada masa sama, jelasnya, menaik taraf hidup rakyat.
“Satu yang diumumkan tadi, bantuan kepada mereka yang memerlukan, kenaikan gaji dan sebagainya, semuanya diumumkan tadi.
“Jadi, begitu juga kita memfokuskan kepada tanggung jawab fiskal dan tadbir urus yang baik dan untuk kita meningkatkan kecekapan khususnya perkhidmatan awam.
“Ini penting untuk kita lihat supaya kita dapat terus memartabatkan negara kita. Kalau dalam konteks saya, menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana pengumuman peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak berjumlah RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai belanjawan yang menyeluruh, menyentuh semua rakyat di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri I itu berkata, belanjawan kali ini juga tidak meminggirkan masyarakat desa dan merapatkan jurang antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
“Saya juga ingin menyentuh mengenai peruntukan diberikan kepada jawatankuasa yang saya pengerusikan iaitu TVET.
“Contohnya tahun ini sebanyak RM6.8 billion, untuk tahun hadapan meningkat RM7.5 billion.
“Begitu juga peruntukan kawasan bagi bekalan air dan elektrik luar bandar dan prasarana, peningkatan adalah sangat ketara.
“Terutamanya apabila peruntukan dalam kategori pembangunan atau dipanggil DE (peruntukan pembangunan) itu melebihi peruntukan daripada OE (peruntukan pengurusan). Ini memperlihatkan keprihatinan Perdana Menteri.
“Penduduk desa seramai 8.7 juta orang. Keterangkuman ini menunjukan penduduk luar bandar juga tidak diketepikan…begitu juga apabila infra asas sebanyak RM2.9 blion telah disediakan,” ujarnya.
#Fadillah Yusof #Zahid Hamidi #Timbalan Perdana Menteri #TPM #Belanjawan 2025 #Anwar Ibrahim
;