Belanjawan 2025: LKIM harap kerajaan teruskan inisiatif, bantuan kepada nelayan

Bernama
September 29, 2024 22:18 MYT
Muhammad Faiz berkata ia bagi memastikan kebajikan nelayan terus dibela sekali gus mendorong mereka untuk lebih produktif dalam meningkatkan hasil tangkapan. - Gambar Bernama
BALIK PULAU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan dapat meneruskan inisiatif dan bantuan telah diberikan kepada nelayan sebelum ini dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata ia bagi memastikan kebajikan nelayan terus dibela sekali gus mendorong mereka untuk lebih produktif dalam meningkatkan hasil tangkapan.
"Pertama, kita mahu subsidi dan insentif yang diberikan selama ini seperti subsidi diesel dan petrol, elaun sara hidup dan insentif tangkapan ikan itu dikekalkan secara prinsipnya.
"Kedua, segala bantuan untuk meningkatkan sosio ekonomi nelayan dalam bentuk perumahan iaitu baik pulih rumah dan juga bina baharu serta Touch Point (insentif/bantuan peralatan penangkapan ikan) juga dikekalkan untuk tahun depan," katanya kepada Bernama pada Majlis Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama Nelayan Pulau Pinang di Unit Nelayan Pulau Betong di sini hari ini.
Faiz berkata elaun sara hidup RM300 yang diberikan ketika ini adalah mencukupi, namun penting untuk mengekalkan subsidi minyak supaya nelayan dapat meneruskan aktiviti menangkap ikan.
Beliau berkata pihaknya bimbang sekiranya pemberian subsidi minyak dihentikan secara drastik akan merencatkan aktiviti penangkapan hasil laut memandangkan 60 peratus daripada kos operasi adalah minyak.
Selain itu, beliau turut mengharapkan supaya kerajaan dapat memberikan lebih banyak peruntukan bagi membaik pulih prasarana dan infrastruktur untuk pendaratan ikan melibatkan kompleks dan jeti.
"Di seluruh Malaysia, kita ada 48 buah kompleks dan jeti yang kebanyakannya sudah lama dan usang serta perlu dibaik pulih kerana apabila keadaan infrastruktur ini baik, kita yakin proses ataupun ekosistem perikanan itu akan lebih licin dan sempurna," katanya.
Sehubungan itu, Faiz berkata segala prasarana kepada nelayan perlulah lengkap dan kondusif supaya rakyat negara ini boleh mendapat bekalan ikan yang cukup pada harga yang stabil.
Pada Belanjawan 2024, Anwar mengumumkan kerajaan mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 sen seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun, selain memberikan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan, serta menyediakan RM10 juta untuk membina baharu serta membaik pulih rumah nelayan uzur.
Terdahulu, Faiz telah merasmikan kemudahan asas tempat menaikkan enjin sampan di Jeti Pendaratan Ikan Unit Nelayan Pulau Betong dan Projek Menaik Taraf Pusat Kegiatan Nelayan Di Kuala Sungai Pinang serta menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan (Touch Point) kepada 67 nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pulau Pinang Selatan dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Teluk Bahang berjumlah RM150,000.
Turut disampaikan adalah bantuan Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) LKIM berjumlah RM356,547 kepada tujuh nelayan dari PNK Pulau Pinang Selatan dan PNK Teluk Bahang yang ditimpa bencana alam seperti kebakaran dan bot tenggelam di laut serta RM212,000 bagi Program Dana Nelayan kepada Pengerusi PNK Pulau Pinang Selatan, mewakili 12 nelayan dari PNK Pulau Pinang Selatan.
-- BERNAMA
#LKIM #Belanjawan 2025 #subsidi minyak #PPSPA
;