Belanjawan 2025: KPWKM cadang bantuan kepada ibu tunggal tuntut nafkah di mahkamah

Bernama
September 4, 2024 15:50 MYT
Nancy berkata ia antara perkara diharapkan kementerian selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan yang meminta bantuan bagi ibu tunggal kurang berkemampuan untuk melalui proses menuntut hak mereka di mahkamah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengemukakan cadangan berhubung bantuan kepada ibu tunggal untuk menuntut nafkah daripada bekas suami di mahkamah dalam Belanjawan 2025.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia antara perkara diharapkan kementerian selepas sesi libat urus dengan pihak berkepentingan yang meminta bantuan bagi ibu tunggal kurang berkemampuan untuk melalui proses menuntut hak mereka di mahkamah.
"Kami masukkan itu dalam belanjawan KPWKM supaya dapat membantu ibu tunggal yang terkesan kerana ada dalam kalangan mereka tidak bekerja. Bagaimana mereka nak turun naik mahkamah, jadi kita cuba membantu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) KPWKM@WPKL di sini hari ini.
Selain itu, Nancy berkata sektor penjagaan warga emas juga antara tumpuan utama kementeriannya bagi Belanjawan 2025 terutama sebagai persediaan Malaysia yang dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030.
Beliau berkata KPWKM turut mencadangkan pembentukan pusat melatih ibu bapa yang mempunyai anak autistik bagi membantu mereka memahami dan menjaga anak-anak istimewa dengan lebih baik.
Nancy berkata trend kelahiran di negara ini yang semakin menurun turut mendapat perhatian KPWKM dalam Belanjawan 2025 dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menggiatkan program kesihatan bagi menggalakkan pasangan mendapatkan anak.
Hasil libat urus dengan Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia, beliau berkata KPWKM bercadang memasukkan bantuan kepada golongan berkenaan bagi meringankan beban mereka.
Dalam Belanjawan 2024, KPWKM diperuntukkan RM3.52 bilion merangkumi RM3.25 bilion perbelanjaan mengurus dan RM265 juta perbelanjaan pembangunan.
Daripada jumlah itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima peruntukan RM2.4 bilion untuk disalurkan kepada lebih 450,000 rakyat khususnya isi rumah yang berpendapatan rendah, warga emas, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU).
-- BERNAMA
#KPWKM #Nancy Shukri #Belanjawan 2025 #ibu tunggal
;