Belanjawan 2025: Kos sara hidup, harga barang tumpuan Kerajaan MADANI
Umavathi Ramayah
September 20, 2024 23:12 MYT
September 20, 2024 23:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan memberikan tumpuan khusus dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober depan di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kos sara hidup sentiasa menjadi kebimbangan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat yang terkesan.
“Masih ada perkara yang belum selesai. Sebab itu Belanjawan MADANI tahun ini kita akan cuba selesaikan harga barang dan kos hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Himpunan Keadilan: Suara Rakyat, Suara Keramat di sini pada Jumaat.
Anwar memberitahu, beliau tidak peduli peruntukan dana kepada ahli Parlimen, sebaliknya lebih memikirkan solusi kepada permasalahan rakyat.