Belanjawan 2025: KKM tumpu penjagaan kesihatan primer tangani penyakit kronik

Bernama
Oktober 16, 2024 21:23 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Pengurusan Bencana sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional peringkat Kementerian Kesihatan 2024 hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penjagaan kesihatan primer yang berfungsi menggalakkan saringan awal, pencegahan penyakit dan mempromosikan gaya hidup sihat antara tumpuan yang perlu diberikan penekanan dalam Belanjawan 2025.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penekanan terhadap penjagaan berkenaan langkah yang perlu diambil untuk memastikan sistem kesihatan yang lebih mapan dan mampu menangani cabaran penyakit kronik yang kian meningkat.
"Saya mahu mengubah pendekatan kepada penjagaan kesihatan yang sebenar bukan hanya tertumpu kepada rawatan penyakit atau sick care semata-mata tetapi fokus harus diberikan kepada langkah pencegahan dan promosi kesihatan bagi mengurangkan beban penyakit kronik seperti jantung, strok, HIV dan kanser.
"Saya yakin belanjawan kali ini akan mengalami trend peningkatan namun dalam hal ini bukan peruntukan itu yang akan menentukan kejayaan tetapi bagaimana ia dibelanjakan dari sudut kecekapan, efisien dan kepentingan keutamaannya," katanya kepada Bernama.
Dzulkefly berkata sekiranya pencegahan itu dipertingkatkan ia dapat mengurangkan kesesakan di hospital yang sering menjadi masalah kerana ramai pesakit yang memerlukan rawatan lanjutan.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) komited dalam mengembangkan fasiliti hospital termasuk fasiliti sekunder dan tertier namun usaha itu akan terus berhadapan dengan krisis penyakit kronik sekiranya tidak dicegah yang menjadi penyebab utama kematian seperti penyakit jantung, HIV, kemalangan kardiovaskular dan strok.
"Kita tidak boleh mengetepikan keperluan hospital namun kesihatan awam juga sama penting, justeru dengan melaksanakan saringan awal dan memastikan rakyat kekal sihat kita dapat mengurangkan jumlah pesakit yang memenuhi hospital," katanya.
Beliau berkata meskipun peruntukan kesihatan bagi tahun ini sebanyak RM41.2 bilion sudah dianggap besar, kementerian berharap peruntukan itu tidak dikurangkan khususnya membabitkan penjagaan pesakit di hospital.
"Aspek utama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana peruntukan tersebut dibelanjakan dengan lebih cekap dan memfokuskan keutamaan sektor yang memerlukan," katanya.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat ini.
-- BERNAMA
#KKM #Belanjawan 2025 #penjagaan kesihatan primer #penyakit kronik #Dzulkefly Ahmad
;