Belanjawan 2025: Kerajaan disaran fokus syarikat tempatan pacu pembangunan AI

Astro Awani
Oktober 12, 2024 07:30 MYT
Sri Ganes berkata, Malaysia tidak perlu mereka cipta semula kaedah yang sudah terbukti berkesan, sebaliknya boleh memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dengan gergasi teknologi seperti Google, Microsoft dan NVIDIA Corporation. - Foto SG
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk memberi penekanan kepada syarikat tempatan dalam usaha memacu pembangunan pusat penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi Belanjawan 2025.

Ringkasan AI
  • Kerajaan disarankan memberi penekanan kepada syarikat tempatan untuk membangunkan penyelesaian AI dalam Belanjawan 2025.
  • Kerjasama strategik dengan syarikat teknologi multinasional seperti Google dan Microsoft adalah penting, tetapi syarikat tempatan lebih memahami masalah setempat.
  • Pembangunan bakat AI dan pelaburan dalam teknologi penting untuk menjadikan Malaysia hab AI serantau yang kompetitif.

Timbalan Presiden Persatuan Internet Pelbagai Benda (IoT) Malaysia, Datuk P Sri Ganes menegaskan, untuk Malaysia kekal kompetitif dalam pasaran global yang pesat berkembang, ekonomi berasaskan AI yang menumpukan kepada penyelesaian inovatif dan kritikal perlu diutamakan.
Ini bagi memastikan rakyat negara ini bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Justeru, beliau berharap agar Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan tidak lama lagi tidak hanya menekankan angka yang besar, sebaliknya memperincikan pecahan perbelanjaan dengan jelas serta memberi tumpuan kepada impak yang nyata.
"Sering kali kita melihat peruntukan bajet yang besar, namun jika sebahagian besarnya digunakan untuk kos operasi seperti bayaran overhead, ia tidak akan memberikan kesan signifikan terhadap pembangunan AI di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Sri Ganes menambah, Malaysia tidak perlu mereka cipta semula kaedah yang sudah terbukti berkesan di negara-negara maju, sebaliknya boleh memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dengan syarikat teknologi multinasional seperti Google, Microsoft dan NVIDIA Corporation.
“Namun, apa yang lebih penting adalah menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan yang lebih memahami isu-isu setempat serta memiliki data yang lebih relevan.
"Syarikat tempatan mempunyai akses kepada data tempatan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang permasalahan yang dihadapi.
"Dengan cara ini, penyelesaian AI yang dikembangkan akan lebih berfokus kepada masalah sebenar yang dihadapi oleh industri tempatan, seterusnya memberikan impak yang lebih besar kepada ekonomi negara," ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama tersebut berpotensi menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia, sekali gus menjadikan negara ini sebagai hab AI serantau yang kompetitif.
Kata beliau, negara jiran seperti Singapura memperuntukkan lebih AS$500 juta (RM2.1 bilion) untuk projek pembangunan AI melalui inisiatif AI Singapore, manakala India pula melatih lebih 10,000 graduan AI setiap tahun melalui program kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.
“Berdasarkan perkembangan ini, adalah penting untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan, dan Belanjawan kali ini perlu memberi fokus kepada pembangunan bakat,” ujarnya.
#kecerdasan buatan #Belanjawan 2025 #pembangunan AI #sri ganes
;