Belanjawan 2025: Kerajaan diharap percepatkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia

Bernama
Oktober 3, 2024 12:00 MYT
Mohd Sharkar berkata penubuhan SEGiM juga akan membolehkan kerajaan menangani isu lambakan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing dan p-hailing yang menyebabkan persaingan tidak sihat, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi memastikan penyusunan dan pengawalseliaan ekosistem industri gig dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata perkara tersebut diharap termasuk dalam pengumuman yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt ini.
Menurut beliau, inisiatif ini penting untuk menjamin masa depan golongan yang terlibat dalam industri gig seperti pemandu e-hailing, penghantar p-hailing, serta mereka yang bekerja sendiri atau lebih dikenali sebagai 'freelancers'.
"Kita berdepan dengan kelemahan perundangan sedia ada, khususnya dari segi penguatkuasaan, jaminan keselamatan, kebajikan, pendapatan dan masa depan pemandu e-hailing, penghantar p-hailing, serta pekerja bebas," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Beliau turut menekankan, sebagai contoh, kenaikan mendadak kos insurans bagi pemandu e-hailing telah memberikan kesan besar kepada kos operasi mereka, dan kerajaan perlu mencari jalan untuk membantu golongan ini yang semakin terbeban.
Mohd Sharkar berkata penubuhan SEGiM juga akan membolehkan kerajaan menangani isu lambakan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) dan p-hailing (PHO) yang menyebabkan persaingan tidak sihat, sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu dan penghantar yang terlibat.
Menyuarakan harapan lain untuk Belanjawan 2025, beliau mencadangkan kerajaan meneliti dan memperbaiki skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan kesejahteraan pekerja gig apabila mencapai umur persaraan.
"Kerajaan perlu memperluaskan akses kepada skim perlindungan sosial yang komprehensif, seperti KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), secara sukarela atau wajib. Ini akan memberikan mereka jaminan kewangan jangka panjang termasuk manfaat seperti insurans kemalangan, perubatan, dan faedah hilang upaya," ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyeru agar kerajaan menyediakan lebih banyak insentif kewangan dan pengecualian cukai kepada pekerja gig, terutama untuk memudahkan mereka mendapatkan pembiayaan kenderaan, latihan kemahiran, serta modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan kecil.
"Diharapkan Belanjawan 2025 dapat memperkenalkan peraturan yang lebih fleksibel, namun masih melindungi hak-hak pekerja. Ini termasuk memastikan majikan dalam ekonomi gig bertanggungjawab menyediakan manfaat asas kepada pekerja," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Abdul Hakim Abdul Rani, mencadangkan agar kerajaan mengekalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso dalam Belanjawan 2025.
"Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Skim Mobileprenuer Pinjaman Motosikal Tanpa Faedah kepada penghantar p-hailing melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional. Kami berharap inisiatif ini akan diteruskan," katanya.
Beliau juga mengharapkan agar kerajaan memperluaskan lagi program 'upskilling' dan 'reskilling' (peningkatan kemahiran dan penggantian kemahiran) bagi membantu pekerja gig meningkatkan kemahiran serta membuka peluang pekerjaan yang lebih baik.
-- BERNAMA
#Mohd Sharkar Shamsudin #Belanjawan 2025 #ekonomi gig #Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia
;