Belanjawan 2025: Kementerian Komunikasi akan pastikan semua maklumat sampai kepada rakyat - Fahmi

Ridauddin Daud
Oktober 18, 2024 20:20 MYT
Fahmi berkata, pembentangan Belanjawan 2025 mencerminkan usaha kerajaan untuk memastikan pendapatan rakyat dan negara meningkat bakal menjadi realiti bermula tahun hadapan.
KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2025 mencerminkan usaha kerajaan untuk memastikan pendapatan rakyat dan negara meningkat bakal menjadi realiti bermula tahun hadapan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, lebih daripada 50 ikhtiar diumumkan dan di pihak kementeriannya, beliau memberi jaminan semua inisiatif itu akan disampaikan kepada rakyat.
“Bagi tujuan ini, kami melalui Jabatan Penerangan dan Komuniti Madani akan memastikan semua, lebih daripada 50 ikhtiar yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri akan difahami dan diterapkan kepada rakyat.
“Ia adalah supaya seluruh peringkat masyarakat akan mendapat maklumat ini...bukan hanya di media sosial tapi juga di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif disediakan dalam Belanjawan 2025 diyakini mampu menarik pelabur dan membuka lebih banyak peluang untuk kemajuan dalam negara.
Menurutnya, belanjawan kali ini juga memperlihatkan kerajaan berusaha untuk membantu rakyat, antaranya dengan keputusan meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) .
Tegasnya, Belanjawan 2025 telah dirangka dengan baik apabila semua perkara dalam ekonomi disentuh dan pada masa sama, nasib rakyat turut diberi perhatian.
“Kalau kita lihat dari segi Ekonomi Madani, kita bukan saja nak tengok meningkatkan siling pendapatan negara tapi juga meningkatkan darjat rakyat, yang mana rakyat akan terpelihara.
“Walaupun kita juga akan teruskan reformasi fiskal yang kita ada namjunj fokus, atau penyasaran yang kita buat ditumpukan kepada mereka yang betul-betul memerlukan pertolongan.
“Pada masa sama, fikir di masa depan, yang mana kita meletakkan balik pelaburan di dalam negara kepada perkara yang akan menjana ekonomi, meningkatkan tahap kemahiran yang ada dalam negara dan meningkatkan infrastruktur dalam negara.
“Ia adalah supaya pemberian balik kepada rakyat lebih elok lagi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.
#Fahmi Fadzil #Amir Hamzah Azizan #Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Belanjawan 2025 #Perdana Menteri #PMX
;