Belanjawan 2025: Industri automotif harap tempoh pengecualian cukai jalan EV dilanjutkan

Bernama
Oktober 14, 2024 06:00 MYT
MAA yang mewakili pengedar, pemasang dan pengilang kenderaan motor baharu di Malaysia, turut mencadangkan duti import bagi bateri untuk EV dan HEV dimansuhkan. - Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: Peserta industri automotif mengharapkan tarikh akhir insentif pengecualian cukai jalan penuh bagi kenderaan elektrik (EV) dilanjutkan selain diperluas untuk kenderaan elektrik hibrid (HEV).
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjelaskan langkah itu akan mendorong permintaan berterusan terhadap EV dan HEV di samping membolehkan pengilang membangunkan lebih banyak produk untuk memenuhi objektif neutral karbon 2030 oleh kerajaan.
Harapan MAA itu merujuk kepada pengecualian cukai jalan penuh oleh Jabatan Pengangkutan Jalan untuk kenderaan EV dari 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2025, dengan persatuan itu mengharapkan tarikh akhir tersebut dilanjutkan.
Persatuan itu, yang mewakili pengedar, pemasang dan pengilang kenderaan motor baharu di Malaysia, turut mencadangkan duti import bagi bateri untuk EV dan HEV dimansuhkan.
"Duti import sifar ke atas bateri EV dan HEV juga akan menggalakkan penggunaan EV dan HEV oleh pengguna kerana pada masa ini, kos bateri EV/HEV menjadi penghalang kepada pengguna yang ingin menggunakan EV/HEV," tambah MAA kepada Bernama.
Pada masa ini, bateri EV dan HEV tertakluk kepada 20 peratus duti import.
Sementara itu, pembuat kereta nasional Proton Holdings Bhd menyuarakan harapan agar industri itu diberi geran untuk merangsang perindustrian EV tanpa menjejaskan ekosistem automotif sedia ada.
"Kami mengharapkan geran pemasangan pengecasan EV untuk mewujudkan kemudahan pengecasan awam di kondominium dan pangsapuri. Ini akan meningkatkan kebolehcapaian untuk semua kumpulan pendapatan, meningkatkan mobiliti dan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik," jelasnya.
-- BERNAMA
#Proton #pengecasan awam #kenderaan elektrik #cukai jalan
;