Belanjawan 2025: Beg songket tenunan Kelantan rekaan Chew Kai Hung pilihan PM
Firdaus Azil
Oktober 18, 2024 15:50 MYT
Oktober 18, 2024 15:50 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Bangunan Perbendaharaan bersama-sama dokumen yang paling dinanti-nanti hari ini, iaitu dokumen Belanjawan 2025 Malaysia MADANI untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
PM Anwar dilihat menggayakan sepasang baju Melayu satin berwarna kelabu cair, namun yang paling menarik perhatian ialah beg fail berwarna hitam, dan bermotifkan tenunan kerawang emas digunakan untuk membawa dokumen tersebut.
Turut dilihat mengiringi beliau adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF) kerja seni tenunan songket beg fail dokumen Belanjawan 2025 itu dihasilkan oleh pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan, manakala beg direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang.
"Tenunan songket membawa nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung dan ia bersesuaian dengan peri pentingnya dokumen Belanjawan 2025 ini. Selain mengangkat martabat si pemakainya, ia melambangkan kedudukan tinggi si pemakainya.
"Selain tenunan songket di bahagian luar, beg ini turut menerapkan kombinasi saree bagi lapisan dalam," menurut MOF lagi.
Ini merupakan Belanjawan kali ketiga yang akan beliau bentangkan selaku Menteri Kewangan.
Dalam catatan di laman media sosialnya, Perdana Menteri berkata, Belanjawan MADANI Ketiga 2025 pastinya akan memberi manfaat buat rakyat terbanyak selain memperkukuh ekonomi dan pembangunan negara, Insya-Allah.