Belanjawan 2025: Bantuan Awal Persekolahan kekal, kerajaan peruntukkan RM800 juta

Ridauddin Daud
Oktober 18, 2024 18:20 MYT
Kerajaan mengumumkan akan meneruskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), dengan hampir RM500 juta diperuntukkan kepada 5.2 juta murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 tanpa mengira pendapatan ibu bapa. - Foto Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan akan meneruskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), dengan hampir RM500 juta diperuntukkan kepada 5.2 juta murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BAP merupakan salah satu daripada 17 bantuan pendidikan yang terus disediakan dengan peruntukan RM5.3 bilion.
Mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Anwar juga berkata sebanyak RM870 juta diperuntukkan kepada Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Menurutnya, RMT bakal memanfaat lebih 860 ribu murid dan peluang diberikan kepada pembekal sajian makanan oleh syarikat di daerah.
“Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin ditingkatkan kepada 180 juta ringgit ketimbang RM150 juta tahun ini.
“Bagi meningkatkan akses pendidikan pelajar dari keluarga susah, Kerajaan bersetuju bayaran gaji atau upah kepada tenaga pengajar oleh institusi dan organisasi dengan objektif pendidikan yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 dibenarkan sebagai perbelanjaan kebajikan,” katanya.
Perdana Menteri juga mengumumkan bantuan makanan asrama bernilai RM2 bilion ringgit.
Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju kadar PCG bagi Pendidikan TVET ditingkatkan sebanyak 15 peratus menjadikan peruntukan keseluruhan PCG berjumlah lebih RM900 juta.
#bantuan awal persekolahan #Belanjawan 2025 #Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #TVET
;