Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata pihaknya juga berharap Belanjawan 2025 akan menyediakan insentif untuk meningkatkan pelancongan berasaskan komuniti, yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dan meningkatkan daya tarikan negeri itu kepada pelancong domestik serta antarabangsa.
"Walaupun kita berterusan menarik kedatangan pelancong asing, usaha mempromosikan pelancongan tempatan juga penting, terutama dalam kalangan penduduk Sabah sendiri yang mungkin tidak mengetahui sepenuhnya destinasi unik di negeri ini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata belanjawan itu juga perlu menggalakkan rakyat Malaysia meneroka negara sendiri kerana Sabah menawarkan pelbagai keindahan alam semula jadi dan pengalaman budaya yang harus dinikmati penduduk tempatan serta pelancong asing.
"Saya mahu melihat bukan sahaja pelancong dari luar negara tetapi juga rakyat kita sendiri menikmati keindahan Sabah. Terdapat banyak permata tersembunyi yang mungkin tidak diketahui oleh rakyat Sabah," katanya.
Beliau turut menggariskan sasaran bagi bagi menarik kehadiran lebih empat juta pelancong asing dari pasaran utama termasuk China, Brunei, Korea Selatan, Singapura dan negara-negara Eropah ke Sabah tahun depan.
Sementara itu Liew berkata dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, Sabah telah mengalu-alukan kedatangan lebih dua juta pelancong yang menjana pendapatan RM4.88 bilion.
Beliau berkata kedatangan pelancong ke Sabah tahun ini meningkat 25.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, dengan 1.66 juta pengunjung.
"Berdasarkan perancangan yang telah diatur, saya yakin kami boleh meningkatkan lagi angka ini. 2025 akan menjadi tahun mencabar, tetapi kami komited membangunkan industri pelancongan dan memastikan pertumbuhan yang mampan untuk Sabah," katanya.
Liew berkata kementerian berkenaan sedang mengusahakan beberapa inisiatif untuk menghadapi cabaran tahun akan datang, khususnya dalam meningkatkan infrastruktur dan mempromosikan amalan pelancongan mesra alam.
-- BERNAMA