Belanjawan 2025: Apa saja reformasi, rakyat perlu rasai manfaatnya - Pakar
Madiha Abdullah
Oktober 18, 2024 15:34 MYT
Oktober 18, 2024 15:34 MYT
KUALA LUMPUR: Jika ekonomi lazim seperti pertumbuhan, inflasi dan kadar pengangguran jadi ukuran, Malaysia dilihat seperti sebuah negara yang tidak mempunyai masalah besar.
Ringkasan AI
- Walaupun Malaysia menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang baik -- inflasi rendah, dan kadar pengangguran yang terkawal -- rakyat masih tidak merasai limpahan kejayaan tersebut. Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dari MINDA-UKM menekankan bahawa perancangan kerajaan perlu memastikan kejayaan ekonomi sampai kepada rakyat.
- Dalam konteks Belanjawan, rakyat ingin tahu manfaat langsung yang akan diperoleh untuk kesejahteraan hidup mereka. Walaupun pendapatan negara meningkat, penting untuk memastikan ia tersebar dengan adil kepada semua lapisan masyarakat.
- Rakyat sering kali tidak memahami data ekonomi yang kompleks. Contohnya, walaupun inflasi dilaporkan rendah, harga barang masih dirasakan mahal oleh orang awam. Ini menunjukkan perlunya komunikasi yang lebih jelas dan tindakan yang lebih efektif untuk menangani isu-isu ekonomi yang dirasai oleh rakyat.
Namun, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, persoalan besar yang menimbulkan paradoks ialah apabila limpahan kejayaan itu tidak dapat dirasai rakyat.
Jelasnya, kerajaan harus melihat bagaimana perancangan yang dilakukan mampu membuka ruang supaya kejayaan itu dapat sampai secara terus kepada golongan paling penting, iaitu rakyat.
"Mungkin angka-angka ini adalah angka yang berada pada aras 30,000 kaki di atas, jadi bagaimana mahu menjadikan ia akhirnya turun.
"Dalam konteks ekonomi, bagi saya mudah saja. Dalam konteks Belanjawan, semua orang nak tahu apa yang akan berlaku, atau apa manfaat yang akan diperolehi untuk keselesaan dan kesejahteraan hidup.
"Sebagai contoh, pendapatan meningkat. Bagaimana ia tersebar kepada rakyat? Dari situ kita akan nampak masalah," katanya ketika muncul dalam program khas Belanjawan 2025: Malaysia Madani pada Jumaat.
Ujarnya, merancakkan pertumbuhan bukan isu utama kerana Malaysia mempunyai banyak strategi dan pelan pembangunan tetapi apa yang paling penting ialah, pada akhirnya, bagaimana ia mewujudkan keberhasilan yang sampai kepada rakyat.
"Kadang-kadang orang awam tidak pandai baca data ekonomi, dia (mempersoalkan) inflasi tak sampai dua peratus tetapi kenapa barang masih mahal," katanya.