Belanjawan 2025: Ada ibu bapa warga emas? Ini manfaat membabitkan mereka
Amirul Aiman
Oktober 18, 2024 19:50 MYT
Oktober 18, 2024 19:50 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam Belanjawan 2025 yang diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan di Dewan Rakyat pada Jumaat, kerajaan turut memberi tumpuan kepada kebajikan warga emas.
Ini adalah antara manfaat membabitkan golongan ini:
1. Bantuan warga emas dinaikkan kepada RM600 sebulan
Kerajaan telah menaikkan kadar bantuan untuk warga emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM600 sebulan, berbanding RM500 sebelum ini. Ini bertujuan untuk meringankan beban keluarga yang menjaga ibu bapa warga emas.
2. Pelepasan cukai untuk pemeriksaan perubatan dan vaksinasi
Pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan perubatan penuh untuk ibu bapa kini diperluaskan untuk meliputi kos pemvaksinan. Langkah ini akan membantu rakyat menampung perbelanjaan kesihatan warga emas dengan lebih baik.
3. Pelepasan cukai sukan untuk ibu bapa
Pelepasan cukai bagi perbelanjaan aktiviti sukan dan peralatan juga diperluaskan untuk meliputi ibu bapa. Ini memudahkan keluarga memastikan warga emas kekal aktif dan sihat.
4. Rawatan perubatan untuk datuk dan nenek
Kerajaan turut memperluaskan pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan, bukan sahaja untuk ibu bapa tetapi juga datuk dan nenek. Ini bermakna lebih ramai ahli keluarga dapat menikmati pelepasan cukai bagi kos rawatan.
5. Elaun penjagaan anak kini merangkumi warga emas
Pengecualian cukai bagi elaun penjagaan anak kini diperluaskan untuk meliputi penjagaan ibu bapa, datuk, dan nenek. Ini membantu mereka yang menjaga ahli keluarga warga emas menikmati pengecualian cukai yang lebih besar.
6. Potongan cukai untuk majikan bayar elaun penjagaan
Majikan yang membayar elaun penjagaan anak kepada pekerja juga akan menikmati potongan cukai tambahan jika mereka turut membayar elaun penjagaan warga emas seperti ibu bapa, datuk, dan nenek.