Belanjawan 2025: 11 Pusat Permata baharu untuk anak-anak autistik

Madiha Abdullah
Oktober 18, 2024 19:20 MYT
Pembinaan Pusat Permata itu bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 Pusat Permata baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua sekolah baharu murid berkeperluan khas juga dibina di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru dengan kos RM300 juta.
"Sekolah di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik.
"Elaun Murid Berkeperluan Khas RM150 sebulan juga terus disediakan kepada lebih 110,000 murid OKU termasuk murid autisme melibatkan peruntukan RM200 juta ringgit.
"Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme disediakan bagi meringankan tanggungan ibu bapa yang layak, dan bakal memanfaat 30,000 anak autisme dengan dana RM15 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025, pada Jumaat.
Selain itu, Anwar memaklumkan sebuah Pusat Perkhidmatan Autisme akan dibangunkan bagi memanfaat komuniti autisme dengan peruntukan RM5 juta.
Manakala had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme akan ditingkatkan kepada 6,000 ringgit ketimbang 4,000 ringgit.
#Belanjawan 2025 #Autisme #anak autistik #peruntukan
;