Belanjawan 2024: Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik diperkenal

Astro Awani
Oktober 13, 2023 17:40 MYT
Kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.
Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Gentari, dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV.
"Bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik, kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah.
"Skim ini akan memberikan rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.
"Bagi menyokong keperluan projek LRT3, Prasarana Malaysia Berhad bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina tiga depot bas dengan kos RM600 juta.
"Kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh empat tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh dua tahun lagi," katanya Perdana Menteri ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) di Dewan Rakyat hari ini.
Belanjawan 2024 merupakan Belanjawan MADANI Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI melibatkan tiga tumpuan utama iaitu; Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan; Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.
#Belanjawan 2024 #Anwar Ibrahim #kenderaan elektrik #TNB Gentari dan Tesla #stesen pengecasan EV
;