Belanjawan 2024: SAF patut jadi fokus utama galak kemampanan industri penerbangan - Pakar
Bernama
Oktober 10, 2023 11:52 MYT
Oktober 10, 2023 11:52 MYT
KUALA LUMPUR: Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) seharusnya menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2024 untuk menggalakkan kemampanan atau kelestarian alam sekitar dalam industri penerbangan dan aeroangkasa sejajar dengan matlamat Malaysia untuk memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia Prof Shamsul Kamar Abu Samah berkata pelaburan dalam SAF, biomaterial, teknologi pengurangan pelepasan dan infrastruktur mesra alam perlu dipertimbangkan dalam pembentangan belanjawan akan datang.
"Kami percaya SAF harus menjadi tumpuan, dan komitmen kerajaan terhadap pembangunannya sebagaimana yang sedang dilaksanakan di bawah inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12, adalah satu langkah ke arah yang betul untuk industri aeroangkasa Malaysia," katanya kepada Bernama.
Pembangunan SAF mewujudkan peluang ekonomi
Sambil memuji komitmen kerajaan terhadap SAF sebagai agenda penting dalam industri aeroangkasa Malaysia, Shamsul berkata SAF merupakan langkah penting untuk mengurangkan jejak alam sekitar sektor aeroangkasa.
"Dengan memperuntukkan sumber dan mempromosikan inisiatif SAF, kerajaan menunjukkan dedikasinya terhadap kedua-dua kelestarian alam sekitar dan daya maju jangka panjang industri," katanya.
Selain itu, Shamsul berkata pelaburan dalam pembangunan dan pengeluaran SAF boleh mewujudkan peluang ekonomi baharu - dari penyelidikan dan pembangunan sehingga kepada pengeluaran serta pengedaran.
"Ia sejajar dengan usaha global untuk memerangi perubahan iklim dan meletakkan Malaysia sebagai pemain yang bertanggungjawab dan berfikiran jauh dalam komuniti aeroangkasa antarabangsa," katanya.
Shamsul turut berharap peruntukan untuk aktiviti penyelidikan dan inovasi yang memberi tumpuan kepada teknologi aeroangkasa dapat membantu Malaysia kekal berada di barisan hadapan dalam industri itu.
"Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan tempatan boleh memacu kemajuan kecekapan bekalan tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia," katanya.
Kerajaan telah mengakui kepentingan SAF dan menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan tempatan menggunakan bahan api ini untuk mengurangkan pelepasan karbon, selaras dengan usaha menuju ke arah ekonomi rendah karbon.
Ini selaras dengan komitmen di bawah fasa mandatori Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa.
SAF ialah alternatif yang boleh diperbaharui kepada bahan bakar fosil dan boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus dalam pesawat. Lebih daripada 480,000 penerbangan komersial telah menggunakan bahan api itu di seluruh dunia sejak 2011.
Memperkukuh rantaian bekalan aeroangkasa untuk daya saing global
Shamsul turut berpendapat memperkuatkan pelbagai sektor dalam rantaian bekalan aeroangkasa - dari pembuatan aero, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kepada integrasi sistem, adalah penting untuk daya saing di arena global.
"Pelaburan dalam mengoptimumkan rantaian bekalan boleh meningkatkan kecekapan industri aeroangkasa Malaysia," katanya.
Selain itu, Shamsul berkata kerajaan harus mengutamakan kemajuan dalam teknologi aeroangkasa dan menyokong transformasi digital, pendidikan dan pembangunan tenaga kerja, serta perkongsian antarabangsa dalam pembangunan rantaian bekalan untuk meningkatkan dan memastikan pertumbuhan industri aeroangkasa.
"Ini adalah seiring dalam mencapai matlamat jangka panjang Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030," katanya.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata ia merancang untuk menarik pelaburan sebanyak RM134 juta untuk industri aeroangkasa menjelang akhir 2023.
Memperuntukkan dana untuk cipta pekerjaan dalam industri penerbangan
Sementara itu, penganalisis penerbangan Endau Analytics Shukor Yusof mencadangkan kerajaan agar memperuntukkan pembiayaan yang besar dalam belanjawan akan datang untuk industri penerbangan kerana ia akan membantu menjana lebih banyak pekerjaan dan menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelawat dan pelabur.
"Kerajaan harus menubuhkan satu pasukan untuk melihat cara menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan kerana laporan menunjukkan KLIA mempunyai kesalinghubungan terbanyak di Asia Tenggara," katanya.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024
#bahan api penerbangan mampan
#saf
#Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia