Belanjawan 2024: Sabah sambut baik 'Belanjawan Merakyat' dibentang Perdana Menteri
Mirlen Axtius
Oktober 13, 2023 07:00 MYT
Oktober 13, 2023 07:00 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan semalam sebagai 'Belanjawan Merakyat' kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus dan teras keutamaan.
Katanya, intipati belanjawan itu jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan, menjurus ke arah mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan di negara ini.
"Pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, menjadi tumpuan Belanjawan 2024 ini.
"Inilah yang saya maksudkan sebagai 'Belanjawan Merakyat'," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, beliau menyaksikan pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, merangkap Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat, menerusi siaran langsung di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.
Turut hadir, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, peruntukan pembangunan untuk Sabah berjumlah RM6.6 bilion menerusi Belanjawan 2024, adalah manifestasi dukungan kerajaan perpaduan dalam menyeimbangkan pembangunan antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Katanya, peningkatan peruntukan tahun depan sebanyak RM100 juta adalah juga sebahagian usaha Kerajaan Persekutuan memenuhi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik dan mengalu-alukan penyediaan peruntukan tersebut dan bertekad untuk menjadikannya inspirasi apabila kita membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2024 tidak lama lagi," katanya.
Sehubungan itu, kata Hajiji, intipati Belanjawan Madani 2024 itu akan diambil kira dan disesuaikan dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi Belanjawan Sabah itu nanti.