Belanjawan 2024 perkasa inisiatif KDN di Sabah - Saifuddin Nasution

Bernama
Oktober 16, 2023 20:04 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Rumah Perantaraan negeri Sabah di Kampung Panjut Berungis Tuaran hari ini. - Foto BERNAMA
TUARAN: Belanjawan 2024 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas akan memperkasa inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sabah terutama melibatkan keselamatan dan menjaga kebajikan anggotanya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata menerusi belanjawan itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk penyelenggara kuarters anggota agensi kementerian itu di Sabah.
Beliau berkata, RM17 juta disalurkan untuk menaik taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Papar; pembaikan dan penggantian lif kompleks Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah (RM7.3 juta); dan menaik taraf Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah (RM9.7 juta).
"Selain itu, terdapat bajet diperuntukkan untuk pembaikan pejabat, perumahan dan kemudahan PDRM Sabah, pembinaan pejabat dan rumah kediaman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau, dan naik taraf, penyelenggaraan Pusat Tahanan Sementara Sibuga, Papar, Menggatal dan Tawau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga KDN Sabah di Pusat Latihan RELA Sabah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata antara inisiatif lain di bawah belanjawan itu ialah pewujudan Baitul Mahabbah bagi penempatan sementara kanak-kanak dari pusat tahanan imigresen dengan peruntukan RM10 juta.
Sehubungan itu katanya Baitul Mahabbah kedua di negara ini akan dibuka di Sabah, bulan depan (November ini) setelah yang pertama di Nilai, Negeri Sembilan.
"Baitul Mahabbah adalah inisiatif KDN bagi memastikan kanak-kanak yang berada di depot Imigresen selamat dan terpelihara, dan bersifat sementara sehingga proses dokumentasi oleh kedutaan negara masing-masing selesai," katanya.
Beliau berkata inisiatif KDN itu terutama dalam menjaga keselamatan di negara ini adalah berdasarkan analisis dan keperluan yang dihadapi oleh negeri atau kawasan, justeru tiada sifat pilih kasih dalam menentukan lokasi perlaksanaan inisiatif kementerian tersebut.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #KDN #Sabah #Saifuddin Nasution Ismail
;