Belanjawan 2024: NCCIM minta kerajaan wujudkan dana ESG bantu PKS

Bernama
September 12, 2023 21:17 MYT
Tan Sri Soh Thian Lai mengesyorkan kerajaan untuk memasukkan inisiatif ini dalam Belanjawan 2024 selaras dengan penekanan global yang semakin meningkat terhadap amalan ESG. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) meminta kerajaan mewujudkan dana alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berjumlah RM2 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memulakan komitmen ESG.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai mengesyorkan kerajaan untuk memasukkan inisiatif ini dalam Belanjawan 2024 selaras dengan penekanan global yang semakin meningkat terhadap amalan ESG.
"Antara cadangan utama kami ialah memusatkan strategi ESG nasional di bawah kementerian utama; memperkenalkan alat penilaian ESG untuk membimbing PKS dalam menilai amalan ESG mereka; mengutamakan syarikat yang mempunyai pematuhan ESG yang kukuh untuk kontrak kerajaan serta menyediakan sokongan kewangan kepada inisiatif mesra alam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata NCCIM juga mencadangkan langkah untuk meningkatkan jangkauan global PKS memandangkan peranan penting PKS dalam ekonomi Malaysia selain penglibatan rendah mereka dalam perjanjian perdagangan utama seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik.
"Cadangan itu termasuk kerjasama dipertingkatkan dengan persatuan industri, pembangunan pencari tarif berdasarkan masa sebenar untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penubuhan agensi pusat untuk menangani halangan bukan tarif," katanya.
Menangani jurang gaji, Soh berkata NCCIM mencadangkan dana khusus sebanyak RM200 juta untuk pelaksanaan bersasar bagi Model Gaji Progresif bersasar merentas sektor yang memerlukan peningkatan segera gaji.
"Ini bukan sahaja memastikan industri disokong semasa mereka melaksanakan peralihan malah juga menjamin pekerja diberi pampasan yang adil atas sumbangan mereka," katanya.
Beliau berkata peruntukan sebanyak RM150 juta disyorkan untuk memudahkan pembangunan kemahiran dan inisiatif latihan vokasional bertujuan meningkatkan sinergi antara kenaikan gaji dan peningkatan kemahiran.
Mengenai usaha melonjakkan sektor hartanah, beliau berkata peruntukan RM150 juta untuk menyeragamkan pengecualian duti setem merentas julat harga hartanah yang berbeza perlu dipertimbangkan untuk memastikan pasaran hartanah yang lebih seimbang.
"Tambahan RM100 juta juga dicadangkan untuk memperhalus dan mempromosikan Program Malaysia Rumah Keduaku, dengan tujuan menarik lebih ramai penduduk antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
#NCCIM #dama ESG #PKS #tadbir urus #Soh Thian Lai
;