Belanjawan 2024: LKIM laksana libat urus kenal pasti masalah, keperluan nelayan

Bernama
September 29, 2023 05:00 MYT
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil (dua, kanan) menyampaikan bantuan kotak ikan berinsulasi (tong fiber) dan jaring pelbagai jenis kepada nelayan pada Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Melaka. - Foto BERNAMA
JASIN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang melaksanakan libat urus bersama nelayan di seluruh negara bagi mengenal pasti masalah dan keperluan infrastruktur industri perikanan untuk permohonan Belanjawan 2024.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, setakat ini, beliau turun padang ke 23 lokasi komuniti nelayan bagi bertemu golongan berkenaan agar penambahbaikan dapat dilaksanakan demi keselesaan dan keselamatan nelayan menerusi peruntukan yang dimohon.
"Kita mengenal pasti beberapa masalah dihadapi golongan nelayan ini, antaranya kemudahan jeti dan keperluan peralatan menangkap ikan seperti di bawah program 'touch point' hari ini, serta peningkatan sosio ekonomi mereka menerusi beberapa pelaksanaan program yang dirangka.
"Keperluan atau kemudahan berkenaan penting bukan sahaja untuk memastikan nelayan terus aktif ke laut, malah membantu kerajaan memastikan bekalan makanan negara mencukupi khususnya hasil perikanan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama Nelayan Melaka yang turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Muhammad Faiz berkata, LKIM setakat ini meluluskan RM14.6 juta bagi menaik taraf infrastruktur perikanan seperti Kompleks LKIM dan jeti nelayan di seluruh negara.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM10.6 juta bagi menaik taraf atau meningkatkan kemudahan di Kompleks LKIM, menaik taraf dan meningkatkan kemudahan jeti nelayan (RM2 juta) dan pembinaan jeti (RM2 juta).
Dalam perkembangan lain, katanya, golongan nelayan khususnya menerusi persatuan masing-masing disaran menjalankan aktiviti akuakultur secara aktif sebagai alternatif meningkatkan ekonomi mereka.
"Sebagai contoh, kolam ternakan udang di Kampung Sebatu di Jasin oleh Persatuan Nelayan Melaka. Aktiviti itu memberi pulangan ekonomi yang baik kepada nelayan dan kerajaan turut menyediakan peruntukan tertentu bagi membantu mereka mengusahakan aktiviti berkenaan," katanya.
Katanya, LKIM juga menyalurkan peruntukan kira-kira RM2 juta meliputi bantuan peralatan menangkap ikan kepada 1,200 nelayan di 23 lokasi di seluruh negara setakat ini.
Terdahulu, pada majlis berkenaan beliau menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan berupa 50 kotak ikan berinsulasi (tong fiber) dan 20 jaring kepada 70 nelayan melibatkan peruntukan RM50,000.
Enam nelayan turut menerima empat enjin bot, jaring udang serta sampan fiber melibatkan peruntukan RM90,000 serta bantuan membaik pulih panggar kupang yang rosak akibat ribut di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) berjumlah RM117,700 melibatkan tiga nelayan dan peruntukan RM48,800 kepada Persatuan Nelayan Melaka di bawah Program Peningkatan Keupayaan Akuakultur Komuniti Nelayan. - BERNAMA
#nelayan #LKIM #Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia #Belanjawan 2024
;