Belanjawan 2024: Jangan ada seleweng, ketirisan, rasuah, nepotism, kroni - Bersatu
Afiezy Azaman
Oktober 14, 2023 08:00 MYT
Oktober 14, 2023 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Isu tata kelola yang lemah dan bantuan lesap menjadi antara masalah utama setiap kali belanjawan tahunan dibentangkan Kementerian Kewangan, kata Datuk Razali Idris.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, pencapaian Belanjawan 2023 yang dibentangkan kerajaan sebelum ini perlu diketahui pencapaiannya, begitu juga Belanjawan 2024.
Selain itu, katanya, negara selalu dimomokkan dengan angka memukau seperti kadar pengangguran yang berjaya diturunkan kepada 3.4 peratus setakat Ogos, tetapi hakikatnya ramai yang masih menganggur.
"Bukan sahaja lepasan graduan, tetapi golongan B40 dan M40 yang kehilangan pekerjaan lalu masih terus bergelut mencari pekerjaan baharu, serta mencari gantian atau mengembalikan status gaji yang lebih baik.
"Begitu juga dengan pelaburan asing yang diumumkan negara bernilai RM132.6 bilion bagi separuh pertama 2023, yang mencipta jangkaan lebih 51,000 peluang pekerjaan.
"Soalnya, rakyat hendak tahu apakah pelaburan yang diluluskan itu dan setakat mana pula ia berjaya direalisasikan?
"Kerana, kadangkala dinyatakan diluluskan, tetapi apabila diselidiki, projek pelaburan yang diluluskan tidak mencapai syarat-syarat yang dikehendaki tetapi tidak diumumkan pula kepada rakyat.
"Jadi, apakah negara ini benar-benar berada di landasan yang tepat?" soal Razali dalam satu kenyataan hari ini, mengulas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Pada masa sama, Razali turut mempersoalkan unjuran dikeluarkan Perdana Menteri mengenai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi 2023 yang harus diunjur semula kepada sekitar 4 peratus.
"Apa maknanya? Apa sebenarnya unjuran pada tahun 2024 pula?
"Selain itu, rakyat juga dimaklumkan bahawa negara ini dikurniakan harga petrol RON95 antara termurah di dunia dengan kadar RM2.05. Malah lebih murah berbanding Arab Saudi, Indonesia dan Thailand.
"Apa maksud yang cuba disampaikan oleh Menteri Kewangan ini? Kerana, sudah tentu rakyat mengharapkan harga petrol lebih murah.
"Ini bukan sahaja akan membantu perbelanjaan harian, malah meningkatkan aliran logistik dan penghantaran perniagaan serta merancakkan perekenomian domestik lebih baik," ujarnya.
Razali menegaskan, peningkatan darjat hidup rakyat hendaklah lebih tuntas dan efektif tanpa ada unsur salah tadbir urus, penyelewengan, ketirisan, rasuan, suapan, nepotisme dan kronisme.
"Ini termasuk tidak berlaku ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan kerajaan yang akhirnya berlaku kehilangan hasil yang terlampau besar saban tahun," katanya.