Belanjawan 2024: 'Besarkan saiz kek, bukan perkenal cukai baharu'

Irfan Faruqi
Oktober 13, 2023 08:30 MYT
Amin berkata sektor PKS perlu diberi lebih penekanan dalam Belanjawan 2024 agar dapat menghasilkan pulangan lebih tinggi. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak wajar menggunakan pendekatan menaikkan kadar cukai atau memperkenalkan cukai baharu bagi meningkatkan pendapatan.
Sebaliknya, Pengarah Urusan Kumpulan SOCC Holdings Sdn Bhd Amin Aznizan berkata, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dibesarkan agar dapat menghasilkan pulangan lebih tinggi, sekali gus menambah kutipan cukai pada kadar sedia ada.
“Sebenarnya cukai tidak semestinya perlu menjadi satu-satunya punca pendapatan kerajaan. Jika tanya saya sama ada kerajaan perlu naikkan kadar cukai atau perkenalkan cukai baharu, ada cara lain untuk raih pendapatan (bagi kerajaan).
"Apa yang kerajaan cuba lakukan ialah untuk meningkatkan jumlah pendapatan daripada bahagian kek yang sedia ada. Kenapa tidak cuba untuk besarkan kek tersebut?
"Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan oleh kerajaan nanti, pada pandangan saya, perlu ditumpukan pada membesarkan saiz kek kepada semua orang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tambah Amin, pembuat dasar tidak perlu menggunakan istilah yang kompleks dalam pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2024 untuk berselindung daripada berterus-terang kepada rakyat mengenai kaedah cukai dibelanjakan.
Besarkan saiz kek, bukan perkenal cukai baharu - Pengarah Urusan Kumpulan SOCC Holdings
Menurutnya, melalui belanjawan itu juga, kerajaan perlu melaksanakan tindakan bagi memastikan perbelanjaan cukai rakyat lebih telus dan terbuka.
“Selain itu, ramai yang tidak puas hati dengan cukai yang dikenakan kerana mereka tidak tahu cukai itu digunakan untuk tujuan apa.
"Bagi saya, apa yang sangat diperlukan oleh rakyat Malaysia sekarang ini ialah ketelusan dan kejelasan dalam pengurusan hasil cukai.
"Cukai tersebut digunakan untuk apa? Tunjukkan hasil dan jelaskan bagaimana ia digunakan,” katanya lagi.
#PKS #cukai #Belanjawan 2024 #Amin Aznizan
;