Belanjawan 2023: Tingkatkan kecekapan pengurusan, kurangkan birokrasi - Masidi

Abdul Hafiz Mustadi
Februari 25, 2023 16:03 MYT
Datuk Seri Masidi Manjun berkata, karenah birokrasi adalah punca sebahagian besar peruntukan yang diumumkan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. - Foto fail Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyarankan agar Kerajaan Pusat meningkatkan kecekapan pengurusan belanjawan yang diumumkan setiap tahun kepada negeri itu.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, karenah birokrasi adalah punca sebahagian besar peruntukan yang diumumkan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Lebih merugikan kata beliau apabila peruntukan yang diumumkan setiap tahun terpaksa digunakan untuk menampung kos pelaksanaan projek tahun sebelumnya.
"(Karenah) birokasi yang begitu melambatkan penurunan peruntukan dan pelaksanaan projek-projek yang dibawa di bawah peruntukan pembangunan.
"Saya beri contoh, dalam tahun ini kita diperuntukkan RM6.5 bilion tetapi yang mungkin (kita) dapat gunakan adalah RM3 bilion sahaja kerana birokrasi.
"Sehubungan itu, pada tahun depan walaupun kita mendapat peruntukan contohnya RM5 atau RM6 bilion sebenarnya peruntukan tersebut lebih kepada peruntukan menyiapkan kerja-kerja atau projek yang tidak disiapkan tahun ini. Jadi saya harap perlu tingkatkan kecekapan pengurusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peruntukan Belanjawan 2023 kepada Sabah selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) ke-4 di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Masidi mencadangkan satu tabung amanah pembangunan diwujudkan di Sabah bagi melancar dan memastikan setiap projek yang masih berjalan mempunyai dana atau peruntukan.
"Kerajaan Pusat dan negeri boleh memikirkan contohnya RM5 bilion tahun ini disimpan peruntukan itu dalam satu tabung amanah agar jika projek tidak siap atau tidak dapat digunakan ia masih (ada kewangan).
"Jadi kalau kita memasukkan wang peruntukan ini dalam tabung amanah pembangunan (projek pembangunan) tetap berjalan tidak kira tahun sudah berakhir," katanya.
Sementara itu, Masidi turut memaklumkan kekurangan infrastruktur yang baik seperti jalan raya antara punca Sabah bukan pilihan para pelabur dalam pembangunan sektor pembuatan.
Katanya, faktor lain adalah jarak antara Sabah dan Pelabuhan Klang yang jauh menyebabkan para pelabur lebih berminat melabur di Semenanjung.
#Belanjawan 2023 #karenah birokrasi #Masidi Manjun #penurunan peruntukan #Peruntukan Sabah
;