Belanjawan 2023: Skim Perubatan Madani mampu kurangkan kesesakan di hospital - KKM

Bernama
Februari 24, 2023 22:06 MYT
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata skim itu merupakan kemudahan 'kredit' untuk golongan B40 berjumpa dengan Pegawai Perubatan Am di klinik swasta tanpa perlu ke Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik beberapa inisiatif dalam pembentangan Belanjawan 2023 apabila menerima peruntukan kedua terbesar dengan peningkatan sebanyak 12 peratus kepada RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun lalu.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata inisiatif kerajaan memperkenalkan Skim Perubatan Madani dengan peruntukan RM120 juta adalah khusus bagi golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am dan swasta.
Katanya, skim itu merupakan kemudahan 'kredit' untuk golongan B40 berjumpa dengan Pegawai Perubatan Am di klinik swasta tanpa perlu ke Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan.
Menurutnya, projek rintis itu merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit di hospital.
"Selain itu, sejumlah RM3 bilion yang diperuntukan bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi membolehkan kementerian mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah kesesakan tersebut.
"Ia termasuk mengoptimumkan penyumberluaran pesakit dari hospital yang sesak kepada hospital lain termasuk hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta," katanya, dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, KKM menyambut baik antaranya penetapan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape serta penetapan separuh hasil duti eksais yang diperuntukan kepada kementerian itu.
Selain itu, pemberian had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan bermula tahun taksiran 2023 daripada RM8,000 kepada RM10,000 yang meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti Autisme, Down Syndrome dan Specific Learning Disabilities, katanya.
Katanya, komitmen kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bersama Generasi Penamat (GEG) dapat melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok serta mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok dan vape.
-- BERNAMA
#Skim Perubatan Madani #Dr Zaliha Mustafa #Belanjawan 2023 #KKM
;