Belanjawan 2023: PKBM rayu pakej rangsangan ekonomi kontraktor G1,G2
Afiezy Azaman
September 1, 2022 11:05 MYT
September 1, 2022 11:05 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mencadangkan agar kerajaan memberikan satu pakej rangsangan kepada Kontraktor Kecil G1 dan G2.
Menurut Presidennya Datuk Azman Yusoff, golongan kontraktor itu terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi negara serta harga barangan binaan yang tidak menentu ketika ini.
Cadangan itu disuarakan susulan pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.
Kata Azman, pakej ini bagi menjamin kelangsungan perjalanan syarikat dan perniagaan mereka kerana sebahagian besar mereka juga masih terkesan dengan pandemik COVID-19.
"Menerusi pemberian projek di bawah pakej rangsangan ini, ia akan memberikan kesan berganda atau ‘multiplier effect’ kepada semua rantaian yang terbabit dalam industri binaan ini termasuk pihak pembekal bahan binaan, kedai 'hardware' serta pelbagai segmen perniagaan yang akan menerima manfaat sama.
"Dengan harga bahan binaan yang turun naik, isu kekurangan pekerja di tapak binaan yang tidak berkesudahan, kos logistik naik mendadak, pembekalan bahan binaan lewat dari luar negara telah menjejaskan serta mengganggu usaha pemulihan kepada industri ini.
"Atas tujuan itulah, kami memohon agar ada peruntukan segera disediakan bagi kontraktor kecil ini untuk melakukan kerja-kerja khusus seperti kerja penyelenggaraan dan lain-lain, dengan tawaran kerja ini boleh dilaksana menerusi sistem undian di jabatan-jabatan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya merayu agar permohonan bantuan kumpulan sasar kontraktor G1 dan G2 diberi perhatian dalam Belanjawan 2023.
Jelasnya, adalah wajar sekiranya kerajaan meletakkan kumpulan kontraktor ini sebagai asas penting, sebagai antara kumpulan penggerak utama kepada usaha pemulihan ekonomi negara.
"Ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk melihat semua segmen ekonomi dipulihkan pada kadar segera," ujarnya.