Belanjawan 2023: Peruntukan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion belanja mengurus - PM Anwar
Ridauddin Daud
Februari 24, 2023 17:08 MYT
Februari 24, 2023 17:08 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 memperuntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lalu.
“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.
“Dengan pembaharuan tatacara perolehan Kerajaan akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.
“Atas prinsip pertanggungjawaban, kerajaan mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada 5 peratus ketimbang 5.6 peratus pada 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Tambah beliau, kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada KDNK menjelang 2025 tertakluk pada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh.
“Bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baharu mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya untuk membiayai pembangunan yang membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat.
“Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen pada tahun ini.
“Ini untuk menjamin supaya kebijakan ekonomi itu lebih telus dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya keterlanjuran berterusan pada masa mendatang,” ujarnya.