Belanjawan 2023: Peruntukan RM150 juta untuk NADMA, tambah baik aset persediaan bencana - PM
Faida Rahim
Februari 24, 2023 16:46 MYT
Februari 24, 2023 16:46 MYT
KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM 150 juta akan disalurkan kepada Pengurusan Bencana Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menambah baik keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat yang terkesan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, persiapan ini merupakan antara langkah berdepan dengan sebarang ancaman bencana.
“Prestasi pasukan penyelamat kita di Turkiye baru-baru ini amat cemerlang dan membanggakan. Kita berharap pencapaian ini dapat diterjemahkan dalam bentuk mempertingkat kecekapan mengurus bencana dan memperkemas tahap kesiapsiagaan bencana di negara ini.
“Sebagai persiapan NADMA disediakan RM150 juta rantara lainnya untuk keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat yang terkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bomba dan RELA juga disediakan 50 juta ringgit bagi menyediakan peralatan dan aset untuk menghadapi bencana.
Sementara itu, peranan komuniti turut diperkasa sebagai kumpulan awal ketika bencana dengan peruntukan sebanyak RM 20 juta ringgit di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti untuk dimanfaatkan 2,000 persatuan penduduk.