Belanjawan 2023: Penyaluran dana pendidikan harus berpaksi data, pemantauan berterusan

Madiha Abdullah
Februari 25, 2023 20:43 MYT
Golongan pelajar ini bukan sahaja keciciran kerana situasi pandemik yang melanda dua tahun lalu, sebaliknya sudah bermula sejak bertahun lamanya. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja memberi peruntukan kepada penyediaan infrastruktur, tetapi juga dilihat serius dalam menangani isu keciciran pelajar, terutama dalam kalangan pelajar dari keluarga B40.
Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir berkata, aspek pemantauan terhadap penggunaan dana dan peruntukan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Pelajar-pelajar ini bukan sahaja keciciran kerana situasi pandemik yang melanda dua tahun lalu, sebaliknya sudah bermula sejak bertahun lamanya, didorong oleh faktor persekitaran dan kekangan kewangan.
"Bukan mudah nak tarik anak-anak ini pergi kelas. Kita sudah buktikan pada PKP lalu, modul kita mesra emosi, anak-anak tertarik bukan semata-mata kita mengajar tapi ada sesuatu yang boleh mereka teroka.
"Sebab itu pemilihan badan bukan kerajaan (NGO) sangat kritikal, kita tak boleh beri dana sesuka hati pada kontraktor yang tiba-tiba buka syarikat untuk buat kelas.
"Memang sesiapa pun boleh buat begitu, tetapi tidak ramai NGO yang ada modul sesuai. Cara pelaksanaannya tak boleh buka satu kelas dan kemudian harap anak-anak ini turun dari tingkat 14 untuk hadiri kelas.
"Kena guna reverse psychology, anak-anak turun kerana modul yang seronok, guru yang bagus, cara pengajaran dan pembelajaran menarik dengan melibatkan emosi dan apa yang mereka sukai seperti internet dan media sosial.
"Semua ini kena ambil kira supaya ia tidak menjadi hanya sebuah lagi program kerajaan tanpa ada bukti keberkesannya," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Sabtu.
Konsep tindakan yang dipengaruhi (data-driven) antara yang boleh diamalkan, seperti menyenaraikan NGO yang sudah melaksanakan program pendidikan sejak dahulu lagi dan diketahui mempunyai modul yang berkesan.
Jelasnya, kesemua NGO ini perlu berbincang mengenai cara terbaik untuk menyalurkan dana, selain mengenal pasti kumpulan pelajar yang terlibat bukan sahaja di Program Perumahan Rakyat tetapi juga di kampung dan kawasan pedalaman.
"Memang penting untuk dana ini wujud secara sustain supaya ia menjadi ekosistem, kalau benar kerajaan berhasrat nak pastikan keciciran anak-anak ditangani dengan berkesan.
"Harus diingat, dilema NGO ialah mereka kebanyakannya bergerak dengan sukarelawan. Tetapi ada yang tidtak bertahan lama kerana tiada ganjaran kewangan.
"Dengan adanya dana, ia boleh menarik lebih ramai sukarelawan yang berbakat, seperti mahasiswa yang boleh mengajar dan ada passion (semangat), tetapi mereka sendiri bergelut dengan isu kewangan," tambahnya.
Pantau Kerajaan Baharu: Pasca Belanjawan: Tumpuan bantu golongan tercicir pelajaran
#Belanjawan 2023 #pendidikan #pengajaran dan pembelajaran #NGO
;