Belanjawan 2023: Pembaziran wang tidak boleh berlaku, perolehan kerajaan harus telus - PM Anwar

Faida Rahim
Februari 24, 2023 16:50 MYT
Kesemua wang penjimatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diagih semula untuk dimanfaatkan melalui projek rakyat yang lain. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pelaksanaan perolehan kerajaan harus dilakukan dalam suasana telus dan terbuka berlandaskan tatakelola baik.
Dalam masa sama, tegas Anwar, pembaziran wang rakyat tidak boleh berlaku sewenang-wenangnya sementara kaedah rundingan terus pula merupakan pelanggaran hukum.
Sehubungan itu, beliau berkata, projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion, Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa atau Jana Wibawa (RM7 bilion) dan projek-projek lain yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini telah dibatalkan.
“Setelah sebilangannya (projek) ditender semula secara telus, negara dijangka jimat sekurang-kurangnya RM3 bilion,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.
Ikuti pembentangan Belanjawan 2023 di sini
Kesemua wang penjimatan besar, kata Anwar, akan diagih semula untuk dimanfaatkan melalui projek rakyat yang lain.
Terdahulu, kerajaan pada 2019 telah mencadangkan pembentangan Akta Perolehan Kerajaan di Parlimen, namun telah ditangguhkan sewaktu pentadbiran kerajaan lalu.
“(Sehubungan itu) Kerajaan Perpaduan bercadang untuk membentangkan akta ini segera. Selama ini ada orang berasa curiga, takut dan menerima tekanan, apabila ingin memberikan maklumat.
“Kerajaan bercadang untuk meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pada tahun ini, bagi melindungi pemberi maklumat supaya agenda membanteras rasuah dan salah laku benar benar menuaikan hasil,” kata Perdana Menteri lagi.
#Belanjawan 2023 #wang rakyat #perolehan kerajaan #PM Anwar Ibrahim
;