Belanjawan 2023: Meringankan kesannya ke atas PMKS
Shaznina Rozman
Julai 7, 2023 11:20 MYT
Julai 7, 2023 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, menyumbang 90 peratus daripada perniagaan dan sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga buruh.
Menurut Pengasas Bersama Industries Unite (IU), Datuk David Gurupatham, inisiatif dalam belanjawan ini telah memberi tumpuan yang lebih besar kepada kumpulan PKS yang sebelum ini mungkin tidak mendapat perhatian yang secukupnya.
Sebelum ini, belanjawan cenderung bersifat menyalurkan bantuan dan sokongan dari peringkat atas ke bawah, di mana PKS yang lebih besar diharapkan mampu mencipta peluang pekerjaan dan memberi sumbangan positif secara berterusan kepada ekonomi.
"Namun, belanjawan kali ini menunjukkan pendekatan yang lebih tertumpu kepada kumpulan yang lebih banyak, iaitu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS),
"Salah satu manfaat utama yang dirasakan oleh PKS tempatan adalah peningkatan likuiditi dalam pasaran", katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI.
Menurutnya inisiatif dalam Belanjawan ini membantu PMKS memperoleh lebih banyak sumber kewangan serta meningkatkan daya saing PKS tempatan.
Namun, David berkata, walaupun terdapat program dan bantuan kewangan dalam belanjawan ini, keberkesanannya perlu dinilai semasa pelaksanaannya.
"Sebagai contoh, beberapa program yang ditawarkan seperti jaminan kredit, pinjaman daripada Bank Simpanan Nasional (BSN), SME Bank, dan sebagainya mungkin memerlukan pengurusan yang baik dan penguatkuasaan yang berkesan agar ianya dapat memberikan kesan yang diharapkan kepada PMKS,
"Semasa pandemik COVID-19, banyak PKS menghadapi cabaran dalam mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil dan agensi yang perlu dirujuk", kata David.
Selain itu,proses dokumenentasi dan keperluan kewangan juga menjadi cabaran tersendiri.
Oleh itu, beliau menekankan bahawa semua masalah ini perlu diselesaikan segera agar impak dari langkah-langkah belanjawan dapat dilihat dengan jelas.
“Sebelum ini, saya mempunyai pandangan kritikal terhadap cara PKS dilayan semasa pandemik, tetapi saya juga perlu mengakui dan menghargai usaha-usaha yang telah dilakukan dalam belanjawan ini,
“Terutamanya, peningkatan sokongan kepada segmen yang lebih rendah dalam pasaran PKS adalah sangat dialu-alukan", katanya.
Beliau turut menambah bahawa kos-kos yang memberi kesan kepada segmen bawah pasaran dalam pasaran PKS adalah kos perniagaan, kos tenaga buruh, dan inflasi dan semuanya meningkat.
Penambahan bantuan ini dapat membantu mengurangkan beban kos-kos tersebut, kata David.
Walaupun tidak dapat menjamin kejayaan penuh, ia adalah bantuan yang besar, terutamanya untuk PMKS, katanya lagi.
Namun, dari sudut peribadi, beliau merasakan perlu ada peningkatan dalam skala yang lebih luas.
Datuk David mencadangkan ambang batas yang ditingkatkan, mungkin sehingga 1 juta, dan peningkatan sasaran bantuan secara beransur-ansur.
"Sekarang, kami berada pada ambang batas RM600,000 dengan 15 peratus bantuan,
"Jika ambang batas ditingkatkan kepada RM1 juta dan sasaran bantuan dinaikkan ke 17peratus, ia akan memberikan kesan yang lebih besar," menurut David.
Walaupun demikian, beliau mengatakan ini adalah langkah yang memberikan justifikasi mengapa bantuan ini penting dan perlu diperluas.
Dalam melihat bantuan berasaskan cukai yang diberikan oleh kerajaan, perlu diakui bahawa jumlah yang diberikan, seperti RM3000 kepada 150,000 perniagaan, mungkin tidak merupakan jumlah yang besar bagi kerajaan yang sedang berusaha menyelamatkan ekonomi, katanya.
Namun, beliau percaya ada ruang untuk peningkatan dalam pelaksanaannya.
Ia begitu penting untuk memahami bahawa PMKS perlu mencapai keuntungan sebelum mereka dapat menikmati manfaat potongan cukai yang sebenar.
Walaupun PMKS mempunyai daya tahan yang hebat, perlu diakui bahawa Malaysia adalah negara yang hebat dan merupakan contoh yang baik, terutamanya dalam konteks negara-negara membangun
Walaupun ramai yang mampu bertahan, itu tidak bermakna mereka dalam keadaan yang baik.
Banyak PKS yang tidak dapat mencapai keuntungan yang mencukupi, terutamanya setelah melalui pandemik yang baru-baru ini.
"Tanpa moratorium atau perlindungan COVID-19, banyak perniagaan terpaksa menanggung beban banyak. Mereka masih perlu membayar sewa, gaji pekerja, pembekal, pinjaman, dan kos lainnya. Sementara itu, mereka juga perlu mengurus aliran tunai perniagaan mereka untuk mencapai keuntungan,"kata beliau.
Selain itu, PMKS perlu menghadapi isu-isu seperti kos elektrik yang tinggi, kos buruh dan inflasi yang tinggi.
Jadi, tidak semua PMKS akan dapat memperoleh manfaat dengan mendapatkan keuntungan dan kemudian mendapatkan potongan cukai atau bantuan kewangan tambahan.
Meskipun bantuan RM3000 akan disediakan kepada 450,000 PMKS, kesan sebenar bantuan ini perlu dipertimbangkan berdasarkan faktor keuntungan yang diperoleh oleh PMKS tersebut.
Disamping itu, apabila membincangkan mengenai PMKS dan isu-isu yang berkaitan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
Salah satu isu utama adalah kekurangan dokumen yang diperlukan dan tidak lengkap.
“Waktu pandemik COVID-19, kita membincangkan mengenai kumpulan orang yang terpinggirkan daripada pelbagai dasar dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan’
Salah satu masalah utama adalah mereka tidak berdaftar sebagai pengguna cukai dan tidak mempunyai dokumen-dokumen yang diperlukan dalam sistem”, katanya.
Oleh itu, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mendidik mereka mengenai pentingnya memiliki dokumen-dokumen ini, katanya.
"Misalnya, dalam sesi penerangan atau waktu menyampai maklumat di dewan kempen atau tempat lain, pihak seperti SME Bank atau BSN boleh memberi penerangan bahawa mereka perlu mengatur buku akaun dan mendaftar sebagai pembayar cukai,
"PMKS tidak perlu risau, kerana mereka mungkin tidak memenuhi syarat atau perlu membayar cukai dalam jumlah besar, "
"Tetapi, ini adalah langkah penting untuk mendapatkan akses kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan", kata Pengasas Bersama Industries Unite (IU) itu.
Beliau menggariskan perkara seperti ini perlu disampaikan secara aktif kepada mereka.
“Ia bukan sekadar pengumuman dari pihak atasan, tetapi juga melibatkan pendedahan secara langsung kepada golongan sasaran. nasihat juga perlu disediakan,” katanya.
Pada masa sama, ia penting bagi semua agensi kerajaan, bank, dan institusi kewangan swasta untuk bekerjasama dalam usaha meningkatkan ekonomi dan memberi sokongan kepada PMKS, kata David.
David turut menambah ini adalah cadangan yang diusahakan dalam beberapa tahun dan belanjawan yang lalu.
Beliau juga memberi mengingatkan bahawa walaupun Malaysia mempunyai dasar-dasar digitalisasi yang tersedia, tetapi masih belum melihat pelaksanaannya dengan sepenuhnya di lapangan.
“Salah satu contoh yang dapat diberikan adalah penggunaan telefon bimbit untuk membeli barang,
"Ini adalah satu perkara yang mudah dilakukan, misalnya dengan menggunakan telefon untuk membeli barang di kedai,
“Namun, kita masih jauh dari mencapai perkara yang sama dalam banyak aspek lain,” katanya lagi.
Beliau yakin terhadap agensi seperti SME Corp dan SME Bank, yang telah melibatkan diri dalam pembangunan infrastruktur dan sistem yang berkaitan dengan PKS dan PMKS, dapat memainkan peranan yang penting.
“Mereka perlu membangunkan infrastruktur yang bersepadu untuk mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh perniagaan mikro,
“Salah satu aspek penting adalah membangunkan struktur pembayaran yang berunsur digitalisasi, di mana kita dapat menggunakan telefon untuk melakukan pembelian dengan mudah melalui proses digital.” Kata David.
Kesimpulannya, dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi dan memberikan sokongan kepada PKS, digitalisasi adalah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian.
Agensi dan institusi terlibat perlu bekerjasama dalam membangunkan infrastruktur digital yang komprehensif.
Sokongan yang tepat juga perlu diberikan kepada PKS untuk memanfaatkan digitalisasi dengan sebaik-baiknya.
Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, beliau percaya ia dapat mendorong pertumbuhan ekonomi dan memberikan manfaat terutama kepada perniagaan mikro di Malaysia.