Belanjawan 2023: Laluan jalan raya akan dibaik pulih untuk perkasa industri pelancongan - PM
Hilmi Malik
Februari 24, 2023 17:38 MYT
Februari 24, 2023 17:38 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan akan melaksanakan beberapa projek untuk membaik pulih jalan raya sebagai langkah untuk memperkasakan lagi industri pelancongan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan itu juga meliputi beberapa laluan yang berdepan kesesakan yang dilihat menjejaskan beberapa laluan ke lokasi tumpuan pelancong.
Semasa membentangkan Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan, kerajaan akan membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak RM480 juta.
“Kerajaan juga akan menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak RM300 juta.
Selain itu, jelas Anwar, kerajaan juga akan membelanjakan RM160 juta bagi membina membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang.
Ini termasuk menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway.
Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan di dari Yong Peng Utara ke Senai Utara - Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa.