Belanjawan 2023: Ketersambungan digital di sekolah perlu seiring perancangan cekap - NUTP

Bernama
Februari 24, 2023 05:20 MYT
Aminuddin berkata kerajaan perlu memastikan pelaksanaan itu dijalankan khususnya dari aspek penyediaan sistem dan aplikasi yang mampu menampung keperluan pengguna. -Gambar Facebook Aminuddin Awang
KUALA LUMPUR: Peruntukan berjumlah RM725 juta tahun ini bagi melaksanakan ketersambungan digital di hampir 3,700 sekolah perlu seiring dengan perancangan serta persediaan yang teliti dan cekap.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata kerajaan perlu memastikan pelaksanaan itu dijalankan khususnya dari aspek penyediaan sistem dan aplikasi yang mampu menampung keperluan pengguna.
"Paling penting, inisiatif kerajaan dalam pendigitalan tidak bersifat 'menang sorak' tetapi akhirnya guru yang terbeban akibat perancangan dan persediaan lemah pihak Kementerian Pendidikan (KPM) khususnya dalam aspek kepelbagaian sistem online dan aplikasi yang dipakejkan dengan pelayan yang tidak selaras dengan bilangan pengguna.
"Antara aspek paling penting dalam menjayakan Dasar Pendidikan Digital adalah capaian Internet yang stabil dan meluas," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Menyifatkan peruntukan tersebut sebagai penting dalam menjayakan Dasar Pendidikan Digital, beliau berkata ia membuktikan usaha kerajaan untuk mempercepat pelaksanaan projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) terutama bagi membantu guru menjalankan tugas dengan berkesan.
"Kami amat mengalu-alukan langkah mempercepatkan pelaksanaan JENDELA yang memberikan impak ketersambungan digital kepada 3,700 buah sekolah," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membentangkan Belanjawan 2023 dan mengumumkan peruntukan berjumlah RM725 juta tahun ini bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 sekolah.
IKUTI INTI PATI BELANJAWAN 2023 DI SINI
KALKULATOR BELANJAWAN 2023
Sementara itu suri rumah Zurina Ali, 38, berkata pelaksanaan itu memenuhi keperluan semasa dalam pendidikan yang memerlukan penggunaan Internet dalam pembelajaran.
"Saya harap dengan mempercepatkan insiatif itu membolehkan sistem pembelajaran anak-anak juga tidak tertinggal," kata ibu kepada tiga anak itu.
Penjawat awam Mohd Hilmi Zulkifli, 43, berkata capaian Internet yang lebih efisyen juga akan membantu menambah baik kemahiran teknologi maklumat.
"Capaian Internet yang baik memudahkan memberi pendedahan kepada anak saya untuk mahir menggunakan pelbagai aplikasi dan perisian misalnya penyuntingan video dan lain-lain yang akan memberi kelebihan dari aspek kemahiran insaniah mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2023 #NUTP #Aminuddin Awang #ketersambungan digital
;