Belanjawan 2023: Kerajaan peruntuk RM10 juta untuk edar segera 20,000 naskhah al-Quran

Ridauddin Daud
Februari 24, 2023 18:12 MYT
Kerajaan akan menyediakan peruntukan RM10 juta bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan peruntukan RM10 juta bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan disumbangkan kepada Yayasan Restu yang akan mengetuai usaha tersebut.
“Pada 27 Januari yang lalu, saya telah umumkan bahawa kita akan mencetak sebanyak sejuta naskah al-Quran.
“Ia adalah sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan purbasangka terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden baru-baru ini.
“Untuk tujuan ini, RM10 juta akan disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Astro AWANI pada 29 Januari lepas melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) akan mengadakan perbincangan berhubung hasrat mengedar sejuta al-Quran ke seluruh dunia.
BACA: Jawatankuasa khas selaras usaha cetak sejuta naskah al-Quran ditubuh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, pengedaran naskhah al-Quran terbitan Yayasan Restu itu juga memberi peluang kepada masyarakat dunia untuk menghayati kandungan al-Quran memandangkan ia turut diterbitkan tafsirannya dalam pelbagai terjemahan bahasa.
IKUTI INTIPATI BELANJAWAN 2023 DI SINI
#Belanjawan 2023 #Al-Quran #Anwar Ibrahim #Sweden
;