Belanjawan 2023: Kerajaan diminta permudahkan permohonan pinjaman peniagaan

Bernama
Februari 26, 2023 04:35 MYT
Jumaat lalu, Anwar mengumumkan kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti BNM, BSN dan TEKUN kepada usahawan mikro dan penjaja kecil dengan dana tersedia berjumlah RM1.7 bilion. - Gambar fail Jabatan Penerangan
SHAH ALAM: Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang menyarankan kerajaan untuk mencontohi program dilaksana oleh Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dalam proses permohonan pinjaman perniagaan untuk para usahawan kecil dan sederhana.
Pengerusinya Kamarul Nizam Razak berkata prosedur dan dokumen yang diperlukan oleh Hijrah Selangor tidak banyak dan perkara tersebut memudahkan golongan itu membuat permohonan pinjaman perniagaan mereka.
Beliau berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lepas mengenai penawaran perkhidmatan pinjaman daripada pihak bank kepada usahawan mikro dan peniaga kecil.
Bagaimanapun proses permohonan yang rumit di bank dan institusi pinjaman lain kelazimannya menyebabkan golongan tersebut membatalkan hasrat memohon pinjaman yang disediakan untuk mereka.
"Contohnya bank-bank tempatan akan menyemak CTOS Data Systems Sdn. Bhd (CTOS) dan Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang menyulitkan mereka (peniaga) membuat pinjaman ini.
"Tapi di Selangor, Hijrah Selangor tidak banyak prosedur untuk periksa pelbagai dokumen, cuma setakat nak penyata akaun bank untuk sebulan berbanding pihak bank yang inginkan penyata akaun bank untuk tiga bulan," katanya kepada Bernama semalam.
Selain itu Kamarul berkata terdapat peniaga kecil yang tidak boleh memohon pinjaman kerana tidak mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berniaga di pasar malam, pasar tani atau pasar sementara.
"Harap permudahkan (prosedur membuat pinjaman), tidak perlu melalui proses semakan dengan CTOS dan CCRIS kerana pandemik COVID-19 yang berlaku selama dua tahun ini, keadaan kita sangat sukar (menghadapi pelbagai cabaran)," katanya.
Pada Jumaat lalu, Anwar mengumumkan kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) kepada usahawan mikro dan penjaja kecil dengan dana tersedia berjumlah RM1.7 bilion.
Kemudahan itu termasuk peruntukan RM300 juta yang dikhaskan bagi menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia, katanya.
-- BERNAMA
#Hijrah Selangor #pinjaman #Belanjawan 2023 #usahawan
;