Belanjawan 2023: Kerajaan berhasrat contohi model rintis Pulau Pinang perkasa industri TVET

Astro Awani
Februari 24, 2023 17:19 MYT
Anwar berkata, syarikat peneraju ini akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti, institut latihan perindustrian (ILP) bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka.
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat mencontohi model Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang secara rintis melibatkan industri Latihan Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) Persekutuan dengan sasaran 50 buah syarikat.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat peneraju ini akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti, institut latihan perindustrian (ILP) dan institut kemahiran belia negara (IKBN) bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka.
Jelas Perdana Menteri, antara yang terlibat ialah Petronas menerajui kluster minyak dan gas di Pengerang, Kimanis, Batu Rakit dan Miri; DRB Hicom bagi kluster automotif di Pekan; Sunway bagi kluster Perhotelan dan MRCB bagi kluster pembinaan.
"Pembaharuan ini berupaya menggunakan sumber kerajaan dengan lebih efektif bagi penghasilan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri.
"Kerjasama awam-swasta melalui pendekatan baharu seperti ini akan terus diteroka untuk bidang atau perkhidmatan kerajaan yang lain," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Bagi mengeratkan kerjasama indutsri, Anwar berkata, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) diperkukuh dengan peruntukan RM50 juta bagi manfaat lebih 8,000 pelatih.
Katanya, program Academy in Factory akan dilaksanakan untuk menyediakan peluang kepada lebih 50,000 pelatih menjalankan latihan sambil bekerja di kilang.
#TVET #model Pulau Pinang #Belanjawan 2023 #syarikat peneraju
;