Belanjawan 2023: Kenaikan cukai golongan kaya tingkat kutipan hasil 4 peratus - Deloitte

Bernama
Februari 24, 2023 06:15 MYT
Belanjawan 2023 itu antara lain mencadangkan pengurangan cukai pendapatan sebanyak dua mata peratusan yang melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan langkah menaikkan kadar cukai golongan berpendapatan tinggi (T20), cukai barangan mewah dan program pengakuan secara sukarela mampu menambah kutipan hasil kerajaan sebanyak empat peratus tahun ini berbanding 2022, kata Deloitte Malaysia.
Ketua Percukaiannya, Sim Kwang Gek berkata Belanjawan 2023 itu telah memperkenalkan semula program pengakuan sukarela yang merangkumi cukai langsung dan tidak langsung.
"Cadangan untuk menawarkan pengampunan ke atas penalti 100 peratus untuk mereka yang membuat pengakuan sukarela bagi tempoh 23 Jun hingga hingga 31 Mei 2024, akan meningkatkan lagi kutipan hasil kerajaan.
"Malah, penalti penuh 100 peratus itu jauh lebih menarik berbanding program yang diperkenalkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum ini yang mengenakan penalti 10 peratus atau 15 peratus ke atas cukai yang bergantung kepada bila pengakuan itu dibuat," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau mengulas pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
IKUTI INTI PATI BELANJAWAN 2023 DI SINI
KALKULATOR BELANJAWAN 2023
Merujuk cukai keuntungan modal, Sim berkata agak menarik apabila kerajaan berhasrat melaksanakan cukai keuntungan modal mulai tahun depan yang bukannya secara menyeluruh, sebaliknya hanya membabitkan pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan mengambil pendekatan secara berperingkat sebelum melaksanakannya secara menyeluruh," katanya.
Menyentuh pengurangan cukai pendapatan individu M40 pemastautin, Sim berkata biarpun ini hanya sebanyak dua peratus dan menurunkan jumlah kutipan hasil, impaknya dijangka minimum kerana wang yang dijimat itu sebaliknya disalurkan semula ke dalam ekonomi menerusi pertambahan perbelanjaan.
Belanjawan 2023 itu mencadangkan pengurangan cukai pendapatan sebanyak dua mata peratusan yang melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000.
Ini melibatkan penjimatan cukai sebanyak RM300 bagi yang berpendapatan RM35,001 hingga RM50,000; RM700 untuk berpendapatan RM50,001 hingga RM70,000 serta RM1,300 bagi berpendapatan antara RM70,001 hingga RM100,000, katanya.
Mengulas manfaat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Sim berkata pengurangan cukai korporat sebanyak dua mata peratusan kepada 15 peratus daripada 17 peratus untuk pendapatan bercukai tahunan sehingga RM150,000, dijangka menggembirakan golongan tersebut.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2023 #cukai #golongan kaya #pendapatan negara
;