Belanjawan 2023: 'Inisiatif tanggungan bayaran lesen memandu akan diperincikan' - Loke

Astro Awani
Februari 24, 2023 22:47 MYT
Loke berkata, mekanisme dan syarat mengenai tanggungan bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas serta e-hailing akan diumumkan dalam masa terdekat. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan memperincikan mekanisme dan syarat mengenai tanggungan bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas serta e-hailing dalam Belanjawan 2023 seperti dibentangkan Perdana Menteri hari ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, perincian itu akan diumumkan dalam masa terdekat memandangkan beliau baharu sahaja dimaklumkan mengenai perkara itu ketika pembentangan berkenaan.
"Mekanisme terperinci akan kita umumkan kerana hari ini, hari ini saya secara sepintas lalu, sebab saya pun baru mendapat berita baik ini.
"Dari segi mekanisme pelaksanaannya perlu kita perincikan lagi sebelum pelaksanaan ini dapat diumumkan.
"Tak pasti (berapa ramai akan terima manfaat) sebab ia baru diumumkan (dalam belanjawan hari ini). Ia salah satu kejutan baik untuk saya. Ada tambahan tugas untuk saya," katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini, pada Jumaat.
IKUTI INTI PATI BELANJAWAN 2023 DI SINI
Menurutnya, inisiatif kerajaan menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing itu antara lain adalah untuk membantu golongan belia supaya mereka boleh memulakan pekerjaan dalam bidang ekonomi gig.
Ditanya sama ada inisiatif itu diperkenalkan hanya untuk belia atau sebaliknya, beliau memberitahu, akan melihat jumlah peruntukan yang akan diberikan Kementerian Kewangan sebelum membuat perincian lanjut.
Dalam pada itu, Loke turut menzahirkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan inisiatif pas bulanan My50.
Katanya, inisiatif itu memanfaatkan 180,000 pengguna di Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan rel merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Bas (BRT), Monorel dan RapidKL.
"Terima kasih kepada menteri kewangan kerana meneruskan peruntukan kepada kita untuk teruskan pas bulanan My50, khususnya pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang supaya dapat diteruskan.
"Saya menjangkakan bahawa penggunaan yang akan melanggan pas ini akan meningkat pada tahun ini, apabila perkhidmatan MRT2 akan bermula pada Mac nanti," katanya.
#Anwar Ibrahim #Belanjawan 2023 #Kementerian Kewangan #Kementerian Pengangkutan
;