Belanjawan 2023: Dana RM10 juta untuk Yayasan Restu edar cetakan naskhah al-Quran
Faida Rahim
Februari 24, 2023 18:52 MYT
Februari 24, 2023 18:52 MYT
KUALA LUMPUR: Dana sebanyak RM10 juta akan disalurkan kepada Yayasan Restu bagi tujuan pengedaran segera cetakan 20,000 naskah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Januari lalu, Malaysia akan mencetak sejuta naskhah al-Quran sebagai tindak balas simbolik yang penuh hikmah dan matang, sebagai jawapan kepada serangan terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden.
Dalam pada itu, Belanjawan 2023 turut menyalurkan RM20 juta untuk tujuan aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan.
Dewan Bahasa dan Pustaka bersama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikan ia sebagai bahan bacaan yang disukai ramai.
“Kerajaan menyokong usaha menyubur dan menterjemah karya agung seperti karya-karya Imam Al-Ghazali, penggagas Maqasid Syariah Abu Ishaq al-Shatibi, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, dan Nuruddin Ali ar- Raniri, pemikir, sasterawan dan fialsuf Muhammad Iqbal,” katanya.
Ini dalam usaha memperkasakan budaya iqra’ dalam memupuk minat membaca karya-karya klasik dan agung yang melibatkan khazanah alam Melayu, dunia Islam dan Barat.