Belanjawan 2023 atasi kemiskinan dalam pendidikan - Fadhlina

Bernama
Februari 25, 2023 17:02 MYT
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata belanjawan itu, dilihat berada pada landasan tepat untuk mengatasi kemiskinan dalam pendidikan. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, dilihat mampu mengatasi isu kemiskinan secara multidimensi melibatkan pelbagai perkara dan bukan hanya tertumpu kepada kemiskinan pendapatan semata-mata.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata belanjawan itu, dilihat berada pada landasan tepat untuk mengatasi kemiskinan dalam pendidikan, termasuk kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar, kemiskinan peranti bagi pembelajaran digital, dan kemiskinan infrastruktur melibatkan sekolah daif.
"Kemiskinan multidimensi kita tidak bercakap mengenai satu sahaja kemiskinan pendapatan, tetapi ia merentas pelbagai kemiskinan memerlukan wajah solusi juga secara multidimensi. Salah satu aspirasi saya (selaku Menteri Pendidikan) adalah bagaimana mengatasi kemiskinan multidimensi," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Konvensyen Pembelajaran Digital 2023 di Universiti Malaysia Sabah di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.
Fadhlina berkata kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar terutama melibatkan golongan kurang berkemampuan, diberi perhatian kerajaan antaranya melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah yang sedang ditambah baik.
Beliau berkata selain RMT, kerajaan juga akan melaksana program untuk mengatasi isu kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar di peringkat lebih awal, antaranya di peringkat prasekolah melalui Belanjawan 2023.
"Melihat anak-anak kita kekurangan nutrisi adalah sesuatu yang amat menyayat hati, justeru apabila kita buat belanjawan ini, salah satu yang kita perjuangkan adalah nutrisi untuk anak-anak kita," katanya.
Fadhlina berkata kemiskinan peranti pula boleh menjejaskan pembelajaran dalam kalangan pelajar, dengan sesi pembelajaran pada masa ini semakin pantas menuju pembelajaran secara digital pada pascapandemik COVID-19.
"Dalam Belanjawan 2023 sebanyak 50,000 peranti akan diberikan kepada pelajar di insitusi pendidikan dan sekolah, untuk memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran secara digital, kami akan agihkan peranti tersebut kepada negeri-negeri," katanya.
Fadhlina berkata kemiskinan infrastruktur terutama melibatkan sekolah daif diberi penumpuan penuh kerajaan melalui Belanjawan 2023, terutama di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pelajar menuntut ilmu dalam persekitaran selesa juga kondusif.
Belanjawan 2023 antara lain memperuntukkan RM1.2 billion bagi menyiapkan segera pembaikan 400 klinik daif dan 380 sekolah daif; selain meningkatkan had sebut harga perolehan kerja pembaikan itu kepada RM1 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2023 #Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek #kemiskinan dalam pendidikan #Perdana Menteri Anwar Ibrahim
;