Belanjawan 2021: Wisma Putra akan manfaat peruntukan demi pertahan kepentingan Malaysia
Nursyazwani Saiful Sham
November 6, 2020 21:23 MYT
November 6, 2020 21:23 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Luar akan memanfaatkan peruntukan bernilai RM778 juta dalam Belanjawan 2021 dengan sebaiknya demi mempertahankan kepentingan Malaysia di persada antarabangsa, kata menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Dalam satu kenyataan malam ini, beliau berkata peruntukan itu juga akan digunakan untuk mengukuhkan peranan Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara, membela kebajikan warga Wisma Putra selain menjayakan perancangan kerajaan berkaitan COVID-19.
Hishammuddin berkata pihaknya sentiasa bersedia memikul tanggungjawab melangkaui peranan sedia ada.
"Sebagai Menteri Luar, saya menyambut baik dan berterima kasih kepada Kementerian Kewangan atas peruntukan ini.
"Ia bertepatan dengan keperluan Wisma Putra, terutama ketika era pandemik ini memandangkan sebahagian besar perbincangan, komunikasi, mesyuarat serta persidangan melibatkan saya dan kepimpinan Wisma Putra dengan para pemimpin di seluruh dunia dilaksanakan secara atas talian.
"Situasi ini memerlukan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi yang moden serta stabil," jelasnya.
Pada masa sama, Hishammuddin memaklumkan kementerian itu akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi membantu kementerian lain menjayakan usaha serta inisiatif yang bersesuaian dengan bidang kuasa Wisma Putra.
Dalam pada itu katanya, pihaknya percaya penubuhan Dana Amanah Malaysia-SDG atau MySDG Trust Fund dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia dapat dilaksanakan dengan baik.
Berikut adalah antara usaha sama dengan kementerian lain:
1) Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) Dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
- Wisma Putra akan terus bekerjasama rapat dengan MOSTI dan KKM dalam usaha memastikan Malaysia menjadi negara penerima manfaat terawal vaksin COVID-19 sebaik sahaja ia berjaya dibangunkan.
- Baru-baru ini Wisma Putra berjaya mendapatkan persetujuan China untuk mengutamakan Malaysia sebagai penerima vaksin yang dibangunkan mereka.
2) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
- Wisma Putra juga sedia membantu menjayakan perancangan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 untuk merancakkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing industri sawit menerusi inisiatif program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan.
3) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan
- Wisma Putra akan membantu memperkasa sektor pertanian memandangkan sektor ini menyumbang 7.1 peratus daripada KDNK, termasuk membantu menerokai ruang pasaran baharu bagi produk makanan berasaskan sektor pertanian negara.
4) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
- Wisma Putra bersedia membantu merealisasikan perancangan kerajaan dalam Belanjawan 2021 di bawah matlamat kelangsungan perniagaan iaitu untuk memacu pelaburan ke dalam negara.
5) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
- Memahami kekangan yang dihadapi khususnya oleh pelajar Malaysia di luar negara ekoran pandemik COVID-19, Wisma Putra menerusi Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara akan terus menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mereka.
#Kementerian Luar Negeri
#Wisma Putra
#Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
#Belanjawan 2021
#COVID-19
#peruntukan