Belanjawan 2021: Tun Mahathir, Tengku Razaleigh individu paling berpengaruh

Rahimah Abdullah
Disember 20, 2020 08:10 MYT
Sidang media khas Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh pada 14 Dis lalu mendapat tumpuan naratif Belanjawan 2021, menurut kajian data raya oleh Malaysia Indicator. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menguasai naratif Belanjawan 2021 dengan fokus kepada sidang media khas oleh kedua-dua tokoh politik itu pada 14 Dis lalu.
Ketika Dr Mahathir aktif membantah belanjawan itu, Tengku Razaleigh yang pada mulanya berdiam diri, secara mengejut mengumumkan sependapat dengan seterunya, menentang pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Belanjawan 2021.
BACA: Tun M, Ku Li harap Ahli-ahli Dewan Rakyat tolak Belanjawan 2021
Kajian Data Raya (Big Data) dilakukan Malaysia Indicator menunjukkan, tiada kemunculan kedua-dua tokoh itu pada senarai data bagi tempoh 10 hingga 12 Disember 2020.
Bagaimanapun, mereka dilihat mula aktif pada 13 hingga 15 Disember 2020 dengan kedua-duanya berada dalam senarai lima teratas individu paling berpengaruh bagi Belanjawan 2021.
Dr. Mahathir berada di tempat pertama individu paling berpengaruh dengan 334 kenyataan, dan Tengku Razaleigh atau Ku Li, dengan 102 kenyataan.
Manakala, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di belakang Ku Li dengan 97 kenyataan, disusuli Datuk Seri Najib Razak (86 kenyataan) dan Perdana Menteri Muhyiddin (55 kenyataan).
Tumpuan kepada Dr Mahathir turut meningkat mendadak pada hari sidang media khas tersebut, mencapai lebih 200 berita.
Begitu juga dengan Tengku Razaleigh yang menyaksikan pendedahan berita mengenai dirinya pada hari sidang media bersama diadakan, iaitu lebih 150 berita.
Dalam pada itu, perkataan 'Ketua Pembangkang' dan 'Sidang Media' juga paling banyak dibincangkan dan ada kaitan dengan desakan kedua-dua tokoh berkenaan agar Ahli Parlimen menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga di Parlimen, 15 Dis lalu.
Selain itu, Twitter Dr Mahathir, @chedetofficial paling kerap diciap dan diulang ciap pada 16 Disember 2020.
#Kajian #Big data #data raya #Malaysia Indicator #Tengku Razaleigh Hamzah #berpengaruh #Belanjawan 2021 #individu paling berpengaruh #Anwar Ibrahim #Najib Razak #Muhyiddin Yassin #Mahathir Mohamad #Dewan Rakyat #Sidang media #Ketua Pembangkang #Twitter
;