Belanjawan 2021: Tumpu kepada naik taraf infrastruktur kampung - Komuniti Siam

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 18, 2020 07:52 MYT
Lee berkata, ada di antara kampung yang masih mempunyai jalan serta kemudahan lain seperti di tahun 70-an, walaupun negara telah menjangkau era kemajuan. - Astro AWANI
KUBANG PASU: Kerajaan perlu meneliti setiap cadangan dikemukakan rakyat dan pihak berkepentingan bagi merangka Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan November ini, disusuli pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) tahun depan.
Menurut Pengerusi Masyarakat Siam Changlun, Lee Boon Guan, 55 tahun, tumpuan harus diberi kepada usaha menaik taraf infrastruktur di kawasan kampung dan desa, seperti jalan, perparitan dan lampu jalan.
Katanya, jalan kampung tidak memerlukan pembangunan yang berlebihan bagi mengekalkan suasana perkampungan yang wujud sejak sekian lama.
"Namun, ia perlu selari dengan pembangunan setempat, mengikut daerah tertentu. Dan janganlah penduduk kampung dianaktirikan," katanya.
Tambahnya, ada di antara kampung yang masih mempunyai jalan serta kemudahan lain seperti di tahun 70-an, walaupun negara telah menjangkau era kemajuan.
"Bajet sepatutnya untuk infrastruktur seperti jalan-jalan kampung di kawasan kampung dan desa-desa yang belum lagi mendapat kemudahan yang cukup lengkap.
"Sepatutnya kita kena ambil tindakan yang sesuai juga. Sebab, dalam manifesto kita, untuk menjayakan negeri ini, kita kena buat perancangan yang elok," kata Lee.
Dalam pada itu, beliau juga berharap kerajaan melonggarkan sedikit syarat berkaitan pinjaman bank dan penstrukturan semula pembayaran kepada peminjam agar rakyat tidak terbeban ketika berdepan COVID-19 ketika ini.
Ketika ini, katanya, banyak sektor terkesan susulan penularan COVID-19, antaranya sektor peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sektor pelancongan yang teruk terjejas, khususnya perhotelan berskala besar.
Jelasnya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk mengurangkan pengangguran.
"Pekerja tempatan akan mendapat peluang pekerjaan semula dengan inisiatif pemberian subsidi upah, 'retraining', 'reskilling' dan penggalakan e-dagang serta ekonomi gig," katanya.
Bagaimanapun, Lee berkata, dengan kenaikan harga minyak dan gas, serta komoditi pertanian, ia bakal membuka peluang kepada pemulihan ekonomi, jika berterusan, selain mengekalkan kestabilan politik.
"Jadi, kalau boleh, kita minta pihak kerajaan memberi bantuan yang lebih sempurna, mengikut pandangan semua pihak, apakah yang perlu kita lakukan.
"Peniaga yang ada buat pinjaman apa pun, kalau boleh kita cuba beri kelonggaran, kita cuba ringankan, supaya janganlah pembayaran balik itu dengan begitu tinggi.
"Memang kita kena bayar sampai habis, tetapi berikan lebih kelonggaran supaya kami mampu membayarnya dan membiayai keluarga dalam kehidupan seharian," katanya.
#bajet #Siam #Belanjawan 2021 #naik taraf #kerajaan #jalan #kampung #desa #parit #lampu #Infrastruktur #PKS #pelancongan #COVID-19 #Subsidi upah #pinjaman #bank #pengangguran #Pekerja
;