Belanjawan 2021 terima respons pelbagai daripada golongan M40
Luqman Hariz, Ridauddin Daud
November 18, 2020 07:00 MYT
November 18, 2020 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Dua minggu selepas dibentangkan, Belanjawan 2021 masih mengundang banyak perdebatan.
Antara suara yang paling kerap kedengaran adalah daripada golongan berpendapatan pertengahan (M40).
Ada segelintir daripada mereka berpendapat, walaupun kerajaan wajar memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) selaku yang paling memerlukan, M40 juga tidak boleh diabaikan ekoran keadaan kewangan mereka yang semakin tertekan sejak kebelakangan ini.
Pekerja swasta, Azizul Hakim Abdul Aziz berkata M40 tidak begitu mendambakan wang tunai kerana mereka faham dengan kekangan kewangan semasa kerajaan.
Bagaimanapun, mereka berharap lebih banyak pemberian bukan tunai diberikan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.
"M40 juga perlu dititikberatkan. Dalam tempoh lapan ke sembilan bulan penularan COVID-19 ini, duit simpanan kami pun dah habis.
“M40 ini macam seolah-olah ambil duit daripada kami sebab kami pembayar cukai, tapi kami tak dapat apa-apa, macam Robin Hood, ambil duit daripada orang yang ada dan taburkan duit itu (kepada golongan B40)," katanya dalam program khas pasca Belanjawan 2021 disiarkan Astro AWANI.
Azizul berkata, M40 juga sering menjadi golongan 'tersepit', yang bukan sahaja perlu menyara diri sendiri, tetapi ibu bapa, anak-anak dan saudara-mara yang mungkin kesempitan wang akibat keadaan semasa.
Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan insentif bukan tunai seperti pengecualian pembaharuan cukai jalan, lanjutan diskaun bil elektrik, serta kebenaran untuk membayar balik hanya faedah pinjaman setiap bulan, sehingga ekonomi kembali seperti sedia kala.
"Sekarang ini rasa sesak dah sampai hidung, dah tenat ni,” katanya.
Dalam pada itu, suri rumah yang juga peniaga dalam talian, Norhaida Kamaludin berharap capaian internet yang lebih baik dan diskaun bil telekomunikasi perlu diberikan kepada rakyat.
Menurutnya, norma baharu menuntut pembelajaran secara digital diperluaskan namun dengan kualiti internet yang tidak memuaskan, ini memberi cabaran kepada mereka.
“Untuk tahun depan, kalau boleh harap-haraplah penyedia servis telekomunikasi membaiki servis yang ada. Saya tidaklah mengharapkan laju macam 5G di Korea, tekan-tekan saja terus keluar.
“Tapi sekurang-kurangnya tiadalah macam telefon buruk yang dengar 50 peratus, gambar lekat-lekat, benda ini mengganggu jugalah,” ujarnya.
Dalam program sama, Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Rauzan Esa berkata:
“Generasi Felda yang ada di luar (kampung) yang terkesan secara langsung (dengan keadaan semasa), mereka boleh pulang ke kampung kerana di kampung ada peluang. Ini kerana berbanding industri lain, industri sawit tidak terkesan semasa COVID-19.
“Sekarang pun harga sawit lebih RM700 satu tan. Itu kelebihan untuk generasi Felda yang mana kita ada asas di kampung,” katanya.
Manakala jururawat, Atirah Mohd Azizul, menyambut Belanjawan 2021 dengan baik selaku pekerja barisan hadapan.
“Belanjawan untuk bahagian kesihatan, kerajaan dah beri yang terbaik kepada kami, dari segi PPE (pakaian perlindungan diri) yang tak cukup dulu, sekarang dah cukup.
“Berbanding dulu, masyarakat terpaksa bantu kami untuk mendapatkan PPE.
"Sekarang dah dapatkan yang sepatutnya dalam belanjawan, belanajwan kali ini, kami di bahagian kesihatan, frontliner bersyukur,” ujarnya.
Bagi mahasiswa, Aina Mardhiah Jazlan, peruntukan untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk pembangunan jaringan jalur lebar sedikit sebanyak membawa kesan positif kepada mereka.
“Bukan sahaja mahasiswa, semua orang boleh "go digital". Pelajar pun ramai yang menceburi perniagaan dalam talian.
“Daripada 12 pelajar dalam kelas saya, lima orang dah buat perniagaan dalam talian dan masih lagi belajar, untuk menampung perbelanjaan mereka.
"Sedikit kritikan atau tambahan, saya rasa perlu ada peruntukan diberikan kepada mahasiswa,” katanya.
#Astro Awani
#Belanjawan 2021
#peniaga
#kerajaan
#Malaysia
#M40
#B40
#pendapatan
#COVID-19
#cukai
#rakyat
#Tengku Zafrul