Belanjawan 2021: Siswazah harap peluang kerja sesuai kelayakan, termasuk di pedalaman
Bernama
November 1, 2020 04:18 MYT
November 1, 2020 04:18 MYT
KUALA LUMPUR: Rata-rata golongan muda terutama siswazah berharap kerajaan dapat menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian selain pendapatan yang setimpal dengan kelayakan mereka dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan, Jumaat depan.
Menyedari peluang pekerjaan yang terhad ketika penularan COVID-19 ini, siswazah yang kini dibelenggu isu pengangguran masih mengharapkan kerajaan dapat membantu mereka memperoleh sumber pendapatan tetap bagi meneruskan kehidupan.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ahmad Muzahied Mahadi, 23, berkata kerajaan perlu berusaha menawarkan peluang sama rata kepada siswazah untuk meningkatkan kemahiran mereka untuk dipadankan dengan pekerjaan yang ditawarkan.
Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan, yang kini bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat swasta di Ampang itu percaya melalui kemahiran baharu itu, mereka boleh menyesuaikan diri dengan pekerjaan yang berbeza dengan kelayakan diperoleh mereka.
"Kini anak muda tidak ada lagi alasan untuk memilih pekerjaan kerana kemahiran yang mereka peroleh boleh digunakan sebaiknya untuk pekerjaan baharu mahupun menggunakan kemahiran itu untuk membuka keusahawanan sendiri," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) UniSZA, Engku Mohammad Fadhli Engku Fauzi, 24, mahu kerajaan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di luar bandar bagi memastikan anak muda tidak berhijrah secara beramai-ramai ke kota hanya kerana ingin mendapatkan pekerjaan idaman dan memperoleh pendapatan.
Engku Mohammad Fadhli yang belum mendapat pekerjaan berkata langkah ini dapat membantu anak muda menyumbang kembali kepada pembangunan kampung halaman mereka sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.
"Saya rasa peluang di luar bandar lebih kepada bidang keusahawanan dan pertanian dan sekiranya ini dapat dilaksanakan, golongan muda dapat berkhidmat dan berbakti semula di negeri kelahiran mereka," katanya.
Bagi lulusan Diploma Komunikasi dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Noor Izzati Mohd Idris, 23, pula beliau berharap usia persaraan tidak dinaikkan bagi memberi peluang golongan muda mendapat pekerjaan terutama sektor awam, selain menyumbang tenaga baharu dalam sektor berkenaan.
Pendekatan ini, katanya dapat memberi pengalaman awal kepada golongan muda untuk berdepan cabaran pekerjaan sekali gus membantu menawarkan idea baharu dan berkesan dalam pembangunan negara.
Seorang lagi lulusan Diploma Komunikasi dan Media UiTM Wan Nurnisha Wan Adnan, 22, pula mahu kerajaan menyediakan pekerjaan dalam bidang digital dan atau ekonomi gig sebagai platform baharu sumber pendapatan utama mahupun sampingan untuk belia.
Beliau yang bekerja sebagai guru tadika sambilan berkata bidang itu juga dapat meningkatkan kemahiran belia dalam teknologi digital dan membantu pertumbuhan ekonomi negara.
-- BERNAMA
#siswazah
#COVID-19
#ekonomi
#kerajaan
#Belia
#kelayakan
#Belanjawan 2021
#pengalaman
#golongan muda
#pekerjaan
#peluang pekerjaan
#pendapatan
#keusahawanan